Categories
SELANGOR

Budayawan mahu MB salur dana hidupkan kesenian

Oleh: Naeem Raffi

SHAH ALAM 26 SEPT: Penggiat seni budaya mahu peruntukan dana disalurkan bagi mengaktifkan kembali kegiatan kesenian dan kebudayaan di negeri itu.

Aktivis budaya, Dr Ibrahim Ghaffar mendakwa Majlis Kebudayaan Negeri Selangor (MKNS) selaku pelaksana kegiatan kesenian tidak menerima geran daripada Kerajaan Negeri sejak lima tahun kebelakangan ini.

SeniKatanya, ekoran itu, kegiatan kesenian di Selangor beransur suram dan kini perlahan-lahan lumpuh.

“Bila dana (geran) tidak ada, kegiatan seni terbatas dan ia hanya dilakukan di kalangan sesama kami. Tiada lagi ‘Sepetang Puisi’ dan ‘Puisi Anggerik’ yang kami bacakan setiap bulan (sebelum itu) di dataran kebudayaan Shah Alam, Kompleks PKNS dan juga laman Budaya.

“(Ketika itu) penulis, penyair, sasterawan, penari mahupun pesilat dapat manfaat. Akhir-akhir ini ia tiada seperti sudah mati dan kami terpaksa ke Kuala Lumpur dan negeri jiran untuk kegiatan seni,” katanya ketika dihubungi Selangor Kini.

Dr Ibrahim berkata Selangor mempunyai kemudahan cukup untuk kegiatan kesenian namun ia tidak dimanfaat sepenuhnya.

“Kita ada Royal Theater (Shah Alam) yang canggih dan kelas, tetapi hanya satu dua kegiatan kesenia dianjurkan disitu.

“Kita harapkan dengan kepimpinan Menteri Besar baharu ini dapat melihat, menilai dan mengaktifkan kembali program seni dan budaya di Selangor,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata budayawan tidak menolak pembangunan fizikal tetapi ia perlu bergerak seiring tanpa meminggirkan pembangunan jiwa dengan pengisian seni dan budaya.

Sekiranya senario ini berterusan, beliau dikhuatiri rakyat tidak berjiwa dan buta seni budaya.

“Kesenian ini jangan diabaikan. Jika tidak, manusianya tanpa manusiawi, manusia tiada jiwa, tiada hormat,” katanya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.