Categories
SELANGOR

DAP: MB baru perlu bawa dasar rakyat lebih baik

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 23 SEPT: DAP Selangor berharap dengan pelantikan Menteri Besar baru, sebuah kerajaan dengan dasar baru dapat diwujudkan bagi membawa Pakatan Rakyat ke aras lebih tinggi berbanding penggal sebelum ini.

Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata, pihaknya dan kesemua ahli dewan undangan negeri DAP akan memberikan kerjasama penuh dalam masa tiga tahun ini bagi membuktikan kepada rakyat bahawa pertukaran Menteri Besar berbaloi dilakukan.

PAKATAN RAKYAT“DAP tidak sabar untuk mendapat barisan kepimpinan negeri di bawah Azmin Ali dengan barisan Exco baru yang lebih inklusif, berorientasikan rakyat dan ‘consultative’ untuk memenuhi janji kepada rakyat.

“Kami percaya dengan bekerja dalam satu kumpulan, Azmin Ali pasti berjaya menjadikan Selangor sebagai negeri terbaik di negara ini.” katanya dalam satu kenyataan.

Pagi ini, tepat jam 10.42 pagi, Azmin Ali yang juga Adun Bukit Antarabangsa mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar baru menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Mengulas lanjut, Pua berkata kerajaan negeri dan anak syarikat harus distruktur semula untuk menjayakan lebih banyak program rakyat seperti rumah mampu milik dan pengangkutan awam.

“Kami percaya kalau ini dapat dicapai dalam tiga tahun mendatang, Azmin akan tercatat sebagai menteri besar terbaik di Selangor.

“Hanya dengan pencapaian sebegini baru rakyat akan bersetuju memperbaharui mandat kepada PR dalam pilihan araya umum akan datang,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.