Categories
NASIONAL

Dewan Muslimat terima usul mansuh Akta Hasutan

SKUDAI: Muktamar Dewan Muslimat PAS Pusat hari ini mengemukakan usul tergempar bagi memansuhkan Akta Hasutan 1948.

Usul itu dibentangkan oleh wakil Dewan Muslimat PAS Pusat Dr Hafizah Ahmad dan diterima sebulat suara oleh para perwakilan.

Hafizah yang membacakan usul tersebut menyifatkan akta itu sudah lapuk sejak ia diperkenalkan ketika zaman British lagi.

Malah katanya, akta itu digunakan sewenang-wenangnya sebagai senjata untuk menutup mulut rakyat yang lantang mengkritik kerajaan.

“Maka muktamar hari ini perlu mengambil ketetapan dan sebulat suara bagi memansuhkan akta ini,” katanya dipetik Harakah Daily, hari ini.

Membahaskan usul itu, wakil dari Muslimat PAS Pusat iaitu Dr Rosni Adam yang menyarankan perlu ada mekanisma yang berkesan untuk menangani aktiviti hasutan dan fitnah.

“Tidak bermakna mansuhkan akta ini aktiviti hasutan dibenarkan berleluasa, perlu ada mekanisma untuk keharmonian negara,” katanya.

Turut berbahas membantah Akta Hasutan ialah perwakilan Sarawak dan wakil Dewan Muslimat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.