Categories
NASIONAL

Dewan Ulama PAS tempelak model perjuangan ‘Erdogan’ & ‘Jokowi’

Oleh NAZLI IBRAHIM

BATU PAHAT, 19 SEPT: Perwakilan Dewan Ulama PAS, Mokhtar Senik menempelak pihak tertentu dalam parti itu yang mahu menjadikan kemenangan Recep Tayyip Erdogan dan Jokowi Widodo sebagai model perjuangan.

“Bila Erdogan menang di Turki, kita mahu jadi Erdogan. Bila PKS menang di Indonesia, kita jadi PKS. Bila Jokowi menang kita nak jadi Jokowi. Apa sebenarnya sikap kita?” katanya.

Beliau berkata demikian pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 bertema Terus Beristiqamah di sini, hari ini.

Sebaliknya, Mokhtar Senik berkata, PAS berpegang kepada al-Quran, sunnah, ijtimak dan qisas sebagai dasar perjuangan.

“Sebahagian pimpinan kita, walaupun menyebut mereka PAS, dasar mereka al-Quran, sunnah, ijtimak dan qias tetapi kadang-kadang lebih gemar, lebih terliur pada seruan lain selain Islam,” katanya.

Beliau berkata, tiada jalan pintas bagi sebuah kemenangan hakiki selainkan perjuangan Islam walaupun sesetengah berpendapat ia mungkin melambatkan kemenangan PAS.

“Mahu kita menegaskan, walau seribu tahun lagi kemenangan itu, kita tetap bersama dalam perjuangan itu.

“Kita tetap pertahankan aqidah perjuangan dan dasar ini supaya tidak terlencong dari jalan Allah,” katanya.

Saksikan siaran langsung melalui tvselangorku.com esok

Leave a Reply

Your email address will not be published.