Categories
SELANGOR

Dr Yunus: Exco PAS kurang bukan masalah, tumpu licinkan pentadbiran

Oleh : AFEEQA AFEERA

KLANG, 26 SEPT : Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dari PAS bertekad untuk terus bergerak ke hadapan bagi memastikan pentadbiran Selangor berjalan baik.

Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi, berkata isu pengurangan kerusi Exco PAS bukan perkara besar perlu diberi tumpuan sekarang, sebaliknya kelicinan pentadbiran negeri yang akan dijadikan fokus utama.

yunus exco pc tie red 01Beliau turut menganggap situasi yang menimpa PAS Selangor itu mungkin mempunyai hikmah.

“Kita bergerak ke hadapan untuk pastikan Kerajaan Negeri dapat mentadbir lebih baik atau kesinambungan kebaikan dilakukan dulu dapat diteruskan supaya rakyat dapat faedah daripada pentadbiran ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Exco di Balairung Seri, Istana Alam Shah, Klang hari ini.

Ketika ditanya sama ada senarai nama Exco PAS Selangor yang dilantik itu sama seperti yang disenaraikan PAS Pusat, Yunus bagaimanapun berkata beliau tidak pasti tentang perkara itu.

Beliau juga menjangkakan jawatan Timbalan Speaker yang akan disandang PAS kelak akan dibincangkan dalam mesyuarat Exco akan datang.

“Kalau ikut senarai dalam jawatankuasa Timbalan Speaker di peringkat negeri, kita ada beberapa calon yang layak antaranya Shafie Ngah atau Khairuddin Othman,” katanya lagi.

Barisan baru Exco kerajaan negeri Selangor yang diumumkan pagi ini menyaksikan PAS kehilangan satu jawatan exco.

Jumlah ahli exco PAS dikurangkan daripada empat sebelum ini kepada tiga orang.

Manakala jumlah Exco dari PKR bertambah daripada tiga kepada empat orang.

Komposisi baru barisan Exco PKR-DAP-PAS itu, telah diperkenankan oleh Sultan Selangor semalam dan diumumkan oleh Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.