Categories
SELANGOR

Exco cadang kekal Khalid dibawa ke mesyuarat Pakatan

 

Oleh NAZLI IBRAHIM

MORIB, 14 SEPT: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim layak kekal sebagai Menteri Besar sehingga ada calon lebih bagus dipilih DYMM Sultan Selangor bagi menggantikannya.

Exco Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa Negeri Selangor, Sallehen Mukhyi berkata, kemelut politik itu selesai jika cadangan itu dibawa ke permuafakatan Majlis Presiden Pakatan Rakyat.

Sementara proses itu dibuat, Tan Sri Khalid layak terus kekal hingga kita dapat pengganti yang kita harapkan lebih baik dari yang ada sekarang,” kata Sallehen.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kejohanan Siri GP Selangor Pantai Morib 2014, yang diadakan di Pantai Morib di sini, semalam.

Sebelum ini, Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Nik Nazmi Nik Ahmad mendakwa Abdul Hadi dalam pertemuan bersama wakil Pemuda PR mencadangkan agar Abdul Khalid dikekalkan dengan pemantauan prestasi Presiden PAS itu sendiri.

Bagaimanapun, Hadi dilapor Malaysia Kini sebagai menafikan kenyataan itu.

Pandangan Sallehen turut disuarakan Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Dr Ahmad Yunus Hairi yang juga seorang Exco daripada PAS.

“Saya tidak ada dalam perjumpaan Pemuda PR bersama Presiden.

“Bagaimanapun saya melihat selagi belum ada pengganti yang diputuskan, Tan Sri Khalid akan terus memegang tampuk pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Kalau ada cadangan dan sebagainya, akan dibawa ke permuafakatan majlis PR dan keputusan itu akan keluar dari PR. Saya kira itu keputusan terbaik.

“Akhirnya istana akan memutuskan keputusan dan siapa pun yang akan jadi Menteri Besar, kena sama-sama bertanggungjawab,” kata beliau.

Leave a Reply

Your email address will not be published.