Categories
NASIONAL

Exco PAS rela disindir asal pentadbiran kerajaan lancar

BATU PAHAT 19 SEPT: Sekalipun kemelut politik berlarutan beberapa bulan, semua program Kerajaan Selangor berjalan mengikut perancangan meskipun pelantikan Menteri Besar baharu hanya dibuat Selasa ini.

Menerusi laman facebook, Exco Selangor, Iskandar Abdul Samad, berkata, penjawat awam tidak perlu khuatir dengan kemelut politik dan membiarkan hal diselesaikan orang politik.

“Ada jabatan tanya saya nak teruskan ke program yang dirancang sebab dengar cerita minggu depan nak lantik MB (Menteri Besar) baharu.

“Saya kata teruskan sahaja. Penjawat awam tak perlu fikir tentang politik. Kalau banyak berpolitik kerja tak jalan. Khidmat kepada rakyat paling penting. Biar orang politik fikirkan,” katanya.

Media melaporkan Menteri Besar Selangor yang baharu akan mengangkat sumpah pada 23 September ini di Balairong Seri, Istana Alam Shah, Klang jam 10 pagi dan disahkan urusetia istana, Arfiq Farid dan Setiausaha DYMM Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani.

Di BATU PAHAT, Exco Pemodenan Pertanian dan Agama Negeri Selangor, Sallehen Mukhyi berkata PAS rela dicemuh dan disindir rakan dalam Pakatan Rakyat (PR) bagi memastikan kesinambungan Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor terus utuh.

Beliau berkata, empat exco PAS kekal istiqamah, malah Kerajaan Negeri membuat keputusan berdasarkan dasar PR.

“Walaupun kita mendapat sindiran daripada beberapa rakan-rakan dalam PR tetapi empat kerusi inilah menjadi benteng terakhir Kerajaan PR Selangor.

“Walaupun kita boleh melantik exco baru tetapi kita tak buat begitu kerana kita mahu menghormati rakan kita dalam PR,” katanya pada Muktamar Tahunan PAS ke-60 di sini.

Kata Sallehin, Kerajaan Negeri juga terus menyalur peruntukan kepada ADUN dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP walaupun kedua-dua parti itu menolak kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Saksikan siaran langsung melalui TVSelangorku.com.

Leave a Reply

Your email address will not be published.