Categories
NASIONAL

FOMCA: Payung Petronas, orang ramai boleh lapor KPDNKK jika sekadar gimik

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 5 SEPT: Orang ramai yang gagal mendapatkan payung Petronas walaupun tempoh promosi masih sah dinasihatkan untuk membuat aduan kepada pihak kerajaan untuk tindakan lanjut.

Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata aduan itu perlu dibuat bagi membolehkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) membuat siasatan.

petronas habisKatanya, KPDNKK boleh menyiasat sama ada payung yang disediakan pihak Petronas adalah berpadanan dan sesuai dengan tempoh promosi dijalankan.

“Kerajaan kena tengok dan periksa adakah Petronas sediakan stok mencukupi kerana ini melibatkan perbelanjaan pengguna.

“Kita tidak mahu payung ini dijadikan gimik semata-mata bagi meraih jualan di Petronas sedangkan kadang-kadang orang mengisi minyak itu sekadar untuk dapatkan payung tetapi tidak dapat. Stok kenalah cukup.

“Kalau tidak cukup stok, itu sudah dikira satu kesalahan kerana menjadikan iklan sebagai gimik promosi,” katanya kepada Selangor Kini.

FOMCABermula 20 Julai sehingga 15 September ini, Petronas menetapkan pembeli untuk mengumpul 10 cop untuk membolehkan mereka mendapatkan Petronas Primax 5 edisi terhad.

Setiap cop memerlukan pembelian berjumlah RM20 dan pengguna perlu menyertakan resit pembelian untuk menebus sekaki payung.

Bagaimanapun, tinjauan mendapati rata-rata pembeli tidak berpuas hati dan kecewa apabila sering kali menerima alasan stok tidak mencukupi apabila ke kaunter untuk menebus ganjaran.

Ramai juga membangkitkan prinsip ‘siapa cepat dia dapat’ yang digunakan Petronas tidak dinyatakan secara jelas.

“Petronas sepatutnya menyatakan secara jelas terma promosi ini, jumlah yang boleh ditebus dalam sehari berapa, seminggu berapa dan jumlah keseluruhan payung berapa.

“Jika katakan setengah bulan promosi berjalan payung semakin berkurang, Petronas boleh menambah bagi memastikan tempoh stok mencukupi sepanjang tempoh promosi,” katanya lagi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.