Categories
BERITA UTAMA

Isu kenaikan kadar fi lesan diperjelas

1986 atau 1987 merupakan tahun asas jadual fi Perlesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (PTPP) bagi semua pihak berkuasa tempatan (PBT) melainkan tahun 1992 bagi Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Penguatkuasaan kadar fi lesen baharu ini sebenarnya merupakan pelaksanaan apa yang telah lama diluluskan dan diwartakan oleh pentadbiran Barisan Nasional pada 2007.

Keputusan Kerajaan Negeri menyemak dan mengemaskini kadar fi lesen lama yang digunapakai selama 15 (bagi MPAJ) dan 20 tahun ini (atau 21 dan 26 tahun jika diambilkira penangguhan sejak 2007) dibuat kerana ia tidak lagi mencerminkan realiti dan situasi semasa terutama memandangkan:

  • beberapa kelemahan pada jadual fi lesen tersebut seperti banyak aktiviti perniagaan tidak tersenarai dalam jadual lama; keterbatasan perincian aktiviti perniagaan dalam kumpulan yang sama, tidak sejajar dengan kepesatan pertumbuhan ekonomi; ketaksaksamaan niaga akibat kadar fi lesen ditetapkan tidak mengikut kesesuaian tahap sosio-ekonomi sesuatu kawasan, keluasan premis perniagaan, kategori atau jenis aktiviti perniagaan, perbezaan antara industri dan komersil dan/atau isipadu jualan.
  • perbezaan nilai wang sebenar yang terlalu besar bagi fi lesen antara terma 1986/1987 atau 1992 berbanding nilai wang sebenar pada hari ini, tidak mampu menampung kenaikan kos operasi dan perkhidmatan munisipal yang disediakan PBT.
  • keperluan meningkatkan perolehan dan memperteguh kedudukan kewangan PBT agar lebih banyak boleh diperuntukkan bagi tujuan pembangunan di mana hanya 4% hingga 10% daripada peruntukan belanjawan bagi kesemua 12 PBT digunakan untuk pembangunan

Faktor-faktor di atas sekaligus menolak suara-suara sumbang bahawa kenaikan fi lesen bertentangan dengan dasar dan pendirian Pakatan Rakyat yang jelas disimpulkan tanpa mengkaji terlebih dahulu duduk perkara sebenar.

Malah, perlu ditegaskan hanya Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Perbandaran Kelang (MPK) dan MPAJ melaksanakan kenaikan fi lesen yang berkuatkuasa 1 Januari 2014.

 Pada bulan Januari 2014, Kerajaan Negeri juga memutuskan bahawa perolehan tambahan hasil kadar baru fi lesen di mana butirannya wajib diumumkan kepada rakyat, hanya boleh digunakan bagi tujuan pembangunan dan bukan operasi. Semua PBT terlibat telah diarahkan:

  • memperjelas kepada para usahawan dan pemilik perniagaan kaedah pengiraan kadar fi lesen baharu yang ditetapkan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK)-PTPP 2007 dan berdasarkan jenis aktiviti perniagaan serta kategori penjualan/perkhidmatan, pembuatan/pemprosesan dan penyimpanan/stor dengan mempertimbangkan keluasan lantai premis.
  • menubuhkan Jawatankuasa Rayuan Fi Lesen bagi mendengar rayuan yang akan dipertimbangkan berdasarkan merit setiap kes dan membantu mereka yang mengalami kesulitan membayar kadar fi lesen baharu akibat kekangan kewangan dan masalah perniagaan yang lain

 Memandangkan situasi ekonomi semasa, enam lagi UUK yang diluluskan pada 2007 iaitu berkaitan krematorium, pasar, perlesenan anjing dan rumah pembiakan anjing, iklan, penjaja dan perlesenan establisymen telah ditangguhkan penguatkuasaannya demi menyediakan persekitaran niaga kondusif dan mengurangkan beban atas golongan usahawan dan peniaga.

Perlu diperjelaskan bahawa hasil PBT seperti cukai taksiran dan fi lesen dimasukkan dalam akaun PBT dan bukannya akaun Kerajaan Negeri.

 Meskipun kenaikan dilihat agak tinggi dan mendadak dari segi peratusan hampir mencecah tiga kali ganda, ia diakui sangat adil dan munasabah sekiranya diambilkiran rasional, nilai mutlak dan tempoh senggang untuk dikuatkuasakan yang sangat lama berdasarkan maklumbalas baik oleh para peniaga hasil beberapa sesi penerangan.

Pasca-kenaikan, kadar fi lesen baharu masih berlegar dalam lingkungan RM250-RM1,000 secara purata. Malah, faham dengan peri perlunya kenaikan ini, hanya sebilangan kecil peniaga yang membantah kerana hakikatnya terdapat kadar fi lesen yang kekal sama atau turun hasil semakan ini, sekaligus menolak dakwaan liar bahawa Kerajaan Negeri tidak cakna atau kurang prihatin dengan kesempitan hidup rakyat.

Leave a Reply

Your email address will not be published.