Categories
SELANGOR

Isu MB: PKR dakwa mStar, The Star sebar maklumat salah

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 6 SEPT : Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini menafikan laporan berita mStar dan The Star berhubung isu pemilihan Menteri Besar Selangor yang mendakwa parti itu akhirnya menamakan tiga calon kepada pihak istana selain Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil, berkata rencana yang ditulis kedua-dua portal dan akhbar itu didapati dipetik daripada sumber yang menyebarkan maklumat tidak benar berkaitan jumlah calon Menteri Besar yang akan dihantar PKR kepada istana.

logo-pkrKatanya perkara itu turut dinafikan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang menyifatkan berita berkenaan tidak tepat.

“Rencana-rencana itu turut cuba menimbulkan persepsi bahawa Setiausaha Agung mengesahkan maklumat jumlah calon seperti yang disebut “sumber” wartawan mStar dan The Star.

“Ini tidak sepatutnya dilakukan kerana Datuk Setiausaha Agung tidak menjawab soalan mengenai isu jumlah nama calon,” katanya dalam satu kenyataan.

mStar melaporkan PKR akhirnya menamakan tiga calon untuk kerusi Menteri Besar Selangor selepas beberapa minggu mempertahankan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon tunggal untuk mengisi kerusi panas itu.

Portal itu berkata selain Wan Azizah, dua lagi calon yang dinamakan adalah Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ijok, Dr Idris Ahmad.

Namun, dalam surat yang dihantar ke Istana Selangor pada Jumaat, PKR mendakwa Dr Wan Azizah seharusnya dilantik kerana beliau mendapat sokongan majoriti.

Akaun bersumpah yang ditandatangani seramai 30 Adun sebagai sokongan kepada pencalonan Wan Azizah turut dikepilkan bersama dalam surat tersebut.

Biro Politik PKR membincangkan perkara itu selama dua hari sementara penasihat parti itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim tetap bertegas mahukan isterinya dinamakan sebagai calon tunggal.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.