Categories
SELANGOR

Isu MB: Presiden parti berhak calon lebih dua nama

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 6 SEPT : Setiap presiden partiĀ  Pakatan Rakyat (PR) berhak untuk mencadangkan lebih daripada dua nama sebagai calon Menteri Besar Selangor baru seperti yang dititahkan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam suratnya, baru-baru ini.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata surat oleh Tuanku Sultan itu ditujukan kepada setiap ketua parti dan bukannya kepada Ahli Jawatankuasa (AJK),

Katanya berdasarkan perlembagaan yang dipersetujui di dalam PAS, presiden mempunyai hak untuk membuat sebarang keputusan tanpa berbincang dengan ahli-ahlinya terlebih dahulu.

“Ahli-ahli parti kena dukung keputusan Presiden, jadi sebab itu sepanjang kita memerintah sejak tahun 1959, jawatan Menteri Besar ini tidak pernah dironyok oleh jawatankuasa PAS pusat.

“Presiden parti yang membuat keputusan dan tidak perlu (kebenaran) jawatankuasa PAS pusat,” katanya pada Majlis Dialog dan Penjelasan Isu Terkini Bersama Presiden PAS di Dewan Tok Guru Rusila, petang, semalam.

Berhubung tindakan PAS yang menghantar lebih daripada seorang calon sehingga menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pimpinan PKR dan DAP, Abdul Hadi berkata ia dibuat berdasarkan titah dan hasrat Sultan Selangor.

Beliau berkata PAS tidak boleh menghantar hanya satu nama sahaja kerana ia akan menyebabkan Tuanku Sultan tidak mempunyai pilihan lain.

“Kalau Sultan tiada pilihan maka kita sudah salah dari segi budi bicaranya.

“Oleh sebab itu kita letak nama lain tetapi ditolak PKR dan DAP.

“Kalau mereka sudah tolak, maka terpulanglah kepada PAS kerana mereka tidak boleh ikat kita berikutan Tuanku Sultan hantar surat kepada pemimpin masing-masing, maka itu hak masing-masing,” katanya lagi.

PAS sebelum ini mengesahkan menghantar dua nama anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PKR dan satu daripada parti itu sebagai calon menteri besar Selangor yang baru.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun tidak menyebut nama ketiga-tiga ADUN berkenaan.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.