Categories
BERITA UTAMA

Isu pengurusan sisa pepejal diperjelas

Berdasarkan anggaran jumlah penduduk seramai 5.9 juta orang, dianggarkan 4,800-5,000 tan sisa pepejal dijana secara purata setiap hari di Selangor yang sebahagian besarnya merupakan sisa domestik dan pukal dari kawasan kediaman, komersil dan industri.

Menjelang 2035, penjanaan sampah dijangka mencecah 7,200 tan/hari. Unjuran kenaikan sehingga 50% ini menuntut satu pendekatan, dasar dan teknologi yang holistik, bersepadu, efisien dan lestari dalam pengurusan sisa pepejal (PSP) merangkumi penghasilan, kutipan, pengangkutan/logistik, pembuangan/pelupusan, kitar atau perolehan semula, rawatan dan pemantauan bahan sisa.

Antara masalah utama berkaitan sisa pepejal di beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor adalah perkhidmatan kontraktor kutipan sampah tidak berkesan atau konsisten, pembersihan tempat awam oleh PBT, pembakaran terbuka, pembuangan dan penambakan sampah di tapak pelupusan haram. 95% sisa pepejal di Selangor dilupuskan di 9 tapak pelupusan dan sebuah loji Refuse Derived Fuel (RDF).

 

Memandang serius permasalahan ini, pada bulan Julai 2013, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mengambil keputusan menubuhkan satu Task Force PSP bertujuan mencari penyelesaian jangka panjang yang menyeluruh bagi masalah sisa pepejal dari terus berlarutan. Task Force ini dianggotai tiga Ahli MMKN dengan portfolio yang relevan, seorang Ahli Parlimen, semua Datuk Bandar dan Yang Dipertua PBT, wakil Jabatan Alam Sekitar Negeri dan pihak-pihak lain yang berkenaan.

Menjelang 2014, jawatankuasa khas ini ditugaskan mencadangkan satu set prinsip PSP kepada Kerajaan Negeri seperti syor mengenai teknologi pelupusan terkini yang sesuai dan diterima masyarakat demi mengurangkan kebergantungan berlebihan terhadap tapak pelupusan yang meningkatkan pembebasan gas rumah hijau dan menghadkan guna tanah optimal, mengurangkan penjanaan sisa melalui perubahan gaya hidup, meningkatkan kadar kitar semula dan sebagainya.

 

Selain daripada penambahbaikan kepada teknologi sedia ada iaitu dengan meningkatkan jangka hayat tapak pelupusan, antara teknologi pelupusan lain yang sedang diteliti dan dinilai secara terperinci untuk digunapakai di Selangor termasuklah Mass Burn Incineration (Stoker), Mass Burn Incineration (Circularized Fluidized Bed), Mass Burn Incineration (Rotary Kiln), Plasma Gasification, Resource Recovery Center (RRC)/Waste to Energy (WTE), Anaerobic Digestion, No Waste Treatment dan Integrated Sorting & Composting (ISOCOM)- Mechanical & Biological. Selepas satu siri perbincangan yang panjang, pada 27 Jun 2014, Kerajaan Negeri telah mengumumkan bahawa satu draf enakmen khusus untuk PSP sedang diperhalusi sebelum dibentang dalam sidang Dewan Negeri Selangor untuk diangkat menjadi dasar.

 

Hanya Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) mengalami masalah PSP paling kronik di Selangor akibat kegagalan berterusan loji RDF di Semenyih yang mula beroperasi sejak 2006, melupuskan sisa pepejal seperti yang termaktub dalam perjanjian konsesi. Terkini, 30,000 tan longgokan sampah di loji ini menyebabkan tiada lagi ruang bagi kontraktor kutipan sampah menghantar sisa pepejal untuk diproses. Sebagai langkah serta-merta, Hebat Abadi, anak syarikat milik penuh KDEB telah diarahkan oleh Kerajaan Negeri pada 5 Ogos 2014 untuk memindahkan longgokan sampah ini ke Tapak Pelupusan Sampah Tanjung 12.

Selanjutnya, satu audit operasi dan kajian menyeluruh akan dijalankan terhadap loji RDF bagi menentukan keberkesanan pengurangan baki sampah selepas diproses, menilai semula daya maju dan kesinambungan teknologi RDF dan mengenalpasti strategi terbaik bagi menangani masalah sampah di bawah MPKj.

 

Maka, penubuhan satu jawatankuasa khas, draf enakmen dan langkah-langkah penyelesaian bagi masalah PSP di MPKj merupakan antara bukti jelas bahawa Kerajaan Negeri “hands-on” dan responsif dengan isu PSP demi kesihatan dan kebersihan awam, kesejahteraan rakyat serta pemuliharaan alam sekitar sekaligus menyangkal dakwaan tidak berasas bahawa isu ini dianggap remeh dan dikesampingkan.

 

Namun, pada paras 5% berdasarkan data 2012, kadar kitar semula sisa pepejal di Selangor sangat rendah berbanding amalan terbaik antarabangsa di sekitar 60%. Rancangan Struktur Negeri Selangor 2035 menyasarkan kadar ini meningkat ke paras 30%.

Bagi mengurangkan penghasilan sisa pepejal, kempen kesedaran untuk mendidik dan mendisplinkan masyarakat harus dipertingkatkan di samping gabungan “carrots and sticks” yang berkesan, antara lain, demi menggalakkan pengasingan sampah di peringkat sumber, membendung gejala membuang sampah merata-rata, mengurangkan penggunaan bekas berasaskan polisterina dan beg plastik.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.