Categories
BERITA UTAMA

Isu Tropicana dan Eco World Dalam Projek Canal City Diperjelas

Cadangan mengeluarkan ‘Request For Proposal’ (RFP) untuk membangunkan 1,172 ekar tanah, sebahagian daripada projek Canal City yang telah dibatalkan pada 2010 mendapat persetujuan Lembaga Pengarah Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) pada 2011.

Setelah satu notis tender diiklankan oleh PNSB bagi tujuan tersebut, satu Jawatankuasa Penilaian yang diwakili oleh golongan profesional pelbagai bidang khusus dalam pembangunan hartanah telah ditubuhkan untuk meneliti setiap tawaran pembida.

PNSBMeskipun dokumen tender dibeli oleh 13 syarikat, hanya enam syarikat yang telah mengemukakan bidaan bernilai antara RM173 juta hingga RM1.297 billion termasuk Dijaya Corporation Bhd (Tropicana), Pot Of Jewels Sdn Bhd, Glomac Bhd, Mah Sing Properties Sdn Bhd,, Teo A. Khing Design Consultants Sdn Bhd dan SP Setia Bhd (SP Setia). Akhirnya, dua pembida iaitu Tropicana dan SP Setia telah disenarai pendek untuk dinilai oleh Jawatankuasa Penilaian .

Mesyuarat Khas Lembaga Pengarah PNSB pada 26 Februari 2013 telah memutuskan untuk menerima syor Pengurusan PNSB agar Tropicana dikenalpasti sebagai syarikat paling berpotensi maka wajar dipilih sebagai pembida yang berjaya atas hujah berikut:

i)        Tawaran pulangan minima berjumlah RM1.297 bilion dalam tempoh 20 tahun dengan pelan pembayaran berperingkat bagi pembangunan seperti berikut;

Kos tanah dibayar dalam tempoh 12 tahun = RM 587 juta

Faedah terkumpul bagi tempoh 12 tahun = RM 252 juta

Nilai tanah secara keseluruhan = Kos Tanah + Faedah Terkumpul = RM 839 juta

Perkongsian pulangan pembangunan pada kadar 5% setahun ke atas Gross Development Value (GDV) atau nilai pembangunan kasar bernilai RM8.64 billion = RM432,215,922 juta

ii)        Pelan Pembangunan yang dicadangkan Tropicana termasuk pembangunan prasarana dan infrastruktur atas tanah seluas 424 ekar daripada 1,172 dan selebihnya 748 ekar untuk projek pembangunan perumahan dan komersil.

Apabila siap dibina, prasarana dan fasiliti awam ini akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri. Justeru, Kerajaan Negeri bukan sahaja bakal mendapat pulangan dalam bentuk wang ringgit malah dalam bentuk pembangunan prasarana demi kemudahan rakyat.

iii)       Asas pertimbangan untuk membuat keputusan turut berpandukan harga semasa, pulangan bakal dinikmati dan GDV.

Namun, pada 19 Mac 2014, Tropicana dilaporkan telah menjual 308.72 ekar tanah yang menjadi sebahagian dari kawasan pembangunan keseluruhan seluas 1,172 ekar kepada Eco World Development Group Berhad (Eco World) pada harga RM470.67.

Maka, timbulah dakwaan tedapat kecuaian dalam Perjanjian Jual Beli Tanah dan Pembangunan yang ditandatangani oleh Menteri Besar Incorporated (MBI) dan Tropicana pada April 2013 dan tohmahan bahawa Kerajaan Negeri telah menjual tanah tersebut di bawah harga pasaran.

Apatah lagi apabila Tropicana turut menggembar-gemburkan kononnya telah mendapat keuntungan atas angin berjumlah RM170 juta hasil dari penjualan tersebut.

Ramai yang kurang faham bahawa kos pembinaan infrastruktur bernilai RM10 sekaki persegi (kps) dan sudah pasti penjualan 308.72 ekar tanah pada harga RM470.67 juta telah mengambil kira faktor ini.

Oleh kerana Kerajaan Negeri berpandangan bahawa transaksi tanah antara Tropicana dan Eco World telah melanggar Perjanjian Jual Beli asal yang dimeterai antara Tropicana dan MBI, Kerajaan Negeri memutuskan untuk menuntut agar perjanjian pembayaran dilaksanakan lebih awal tanpa menurut pelan pembayaran berperingkat sebagaimana yang digariskan dalam perjanjian.

MBI melalui PNSB selaku Pengurus Projek Pembangunan kemudiannya telah menawarkan kepada Tropicana penjualan tunai berdasarkan Nilai Bersih Terkini  atau Net Present Value (NPV) tanah tersebut bernilai RM844,298,433 yakni RM1.15 juta seekar supaya nilai potensi besar hasil penjualan tanah itu dapat dirungkai sekarang.

Dengan tawaran terbaharu ini, nilai tanah yang dijual kepada Tropicana sebenarnya mendapat harga terbaik sekaligus menyangkal dakwaan ianya dijual di bawah harga pasaran.

Prinsip dan pendekatan Kerajaan Negeri dalam urus tadbir aset seperti hartanah adalah dengan memberi nilai tertinggi kepada aset tersebut di mana tanah tidak dijual kosong tetapi beserta dengan pelan pembangunan.

Ini amat berbeza dengan perancangan asal pembangunan Canal City pada tahun 2003 di bawah Barisan Nasional.

Ketika itu, dengan kos keseluruhan dianggarkan bernilai RM1.345 billion sedangkan keuntungan keseluruhan projek diunjurkan RM74 juta bagi tempoh 20 tahun, PNSB dijangka akan memperolehi keuntungan sekitar RM22.2 juta sahaja.

Leave a Reply

Your email address will not be published.