Categories
SELANGOR

Kajang dilanda banjir! Adun temui MPKj, JPS cari penyelesaian

Oleh AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 30 SEPT: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kajang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan mengadakan pertemuan empat mata bersama Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) bagi mencari penyelesaian banjir di kawasan berkenaan.

Dalam satu kenyataan beliau berkata, pihaknya telah menerima makluman daripada penduduk bahawa sesetengah kawasan di Bandar Kajang telah mengalami banjir kilat pada petang hari Isnin 29 September lalu berikutan hujan lebat di Kajang.

“Saya akan mengusahakan pertemuan empat mata di antara pihak pejabat ADN Kajang, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor (JPS) bagi membincangkan masalah dan penyelesaian jangka pendek dan jangka panjang berkenaan isu banjir kilat di Kajang.

“Selain itu, pihak pejabat Adun Kajang akan bekerjasama dengan unit taskforce MPKj untuk memantau dan mengambil langkah proaktif sekiranya kejadian banjir kilat seperti ini berulang lagi,” katanya.

Beberapa kawasan termasuk pekan Kajang dan Kampung Sungai Kantan dilanda banjir kilat selepas hujan lebat lebih sejam pada petang Isnin.

Hujan lebat yang bermula kira-kira jam 4 petang itu mengakibatkan banjir berulang di kawasan sama selepas insiden berkenaan pernah berlaku 10 bulan lalu.

Beliau mengucapkan setinggi penghargaan kepada pihak ahli majlis, pegawai MPKj dan pegawai JPS kerana telah bertungkus lumus untuk membersihkan kawasan yang dilanda banjir kilat.

“Syabas diucapkan atas tindakan segera yang diambil untuk menangani kejadian banjir kilat di Bandar Kajang,” ujar beliau lagi.

HM

Leave a Reply

Your email address will not be published.