Categories
NASIONAL

Kekalahan PAS di Terengganu, Perak, Kedah tiada kaitan dengan Hadi – Mustafa

Oleh NAZLI IBRAHIM

BATU PAHAT, 20 SEPT: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak wajar dipersalah atas kegagalan PAS mempertahan kerajaan Pakatan Rakyat (PR) di Perak, Terengganu dan Kedah.

Setiausaha Agong PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, PAS tewas disebabkan beberapa faktor di luar kawalan Abdul Hadi yang diakui Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ada yang barangkali tak senang dengan Hadi cuba menunjukkan kegagalannya dengan mengatakan pada zaman Presiden PAS itulah, kita kehilangan Terengganu, Kedah dan Perak.

“Tetapi tak pula sebut masa Hadi jadi Presiden, PAS menang Kedah dan Perak. Ketika jadi timbalan bersama Almarhum Presiden Datuk Fadhil, kita menang Terengganu.

“Perak tiada kena mengena dengan Hadi pun. Yang lari itu dua dari PKR, seorang dari DAP, itu yang menjatuhkan kerajaan,” katanya pada sesi penggulungan dalam Muktamar Tahunan PAS ke-60, hari ini.

Beliau berkata, Barisan Nasional (BN) merampas Terengganu menerusi strategi yang dinamai Formula Terengganu dan cuba dipraktik di Selangor pada 2013 hasil makluman Anwar melalui sumber risikan.

“Krisis Kedah tak patut timbul. Mereka kata Hadi tak boleh tangani sebab pertahankan Datuk Seri Azizan sebagai Menteri Besar tetapi kalau kita tak pertahan, Azizan letak jawatan, bolehkah kita menang mempertahan Kedah? Belum tentu,” katanya.

Saksikan siaran langsung Muktamar Tahunan PAS ke-66 melaluiĀ tvselangorku.com

Leave a Reply

Your email address will not be published.