Categories
KENYATAAN MEDIA

Kerajaan Pusat patut tegas tangani UPSR bocor

Kerajaan Negeri Selangor di bawah Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor  sangat kesal terhadap Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) atas masalah kebocoran soalan UPSR bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris 1 & 2 tahun 2014.

Kejadian ini bukan saja menjejaskan emosi dan menimbulkan kekecewaan kepada 473,175 calon-calon yang menduduki UPSR, para guru dan ibu bapa tetapi merugikan Negara daripada kos, masa dan tenaga kerja.

upsr-1Bahkan menghilangkan kepercayaan terhadap integriti Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan juga menimbulkan keraguan terhadap Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dalam menjaga kerahsiaan. Hal ini jelas membuktikan kelemahan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dalam mengurus tadbir sistem peperiksaan di Malaysia.

Kesan kejadian ini telah menyebabkan peperiksaan akan  ‘ditunda’ ke tarikh 30 September 2014 iaitu lebih dari 2 minggu dari tarikh asal.  Peristiwa ini juga menyebabkan pelajar-pelajar sekolah teraniaya dan menjejaskan perancangan ibubapa sewaktu cuti persekolahan tidak lama lagi.

Suatu “Suruhanjaya Khas”  perlu dibentuk dengan segera untuk menyiasat insiden yang berlaku agar kejadian yang sama tidak akan berulang pada peperiksaan yang lain seperti PT3,SPM, dan STPM.

Sehubungan dengan itu, satu pelan kontigensi perlu dilakukan oleh pihak Lembaga Peperiksaan Malaysia bagi memastikan peperiksaan yang ditunda dan peperiksaan lain yang akan diadakan tahun ini dapat berjalan dengan lancar.

Kerajaan Negeri Selangor mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia menyiasat perkara ini secara menyeluruh dan membawa pihak yang ‘membocorkan soalan’ UPSR ini ke muka pengadilan agar hukuman setimpal dikenakan bagi memberi pengajaran kepada semua agar bersifat ‘telus’, berintegriti dan jujur dalam melaksanakan tugas yang diamanahkan dalam bidang pendidikan di Malaysia.

Kerajaan Negeri juga mengesyorkan agar Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenal pasti punca sebenar perkara ini berlaku dan mencegahnya secara proaktif.

Akhir sekali Kerajaan Negeri Selangor  menyeru kepada semua terutamanya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) dan pihak yang bertanggungjawab agar menjaga martabat pendidikan  supaya terus dihormati dalam persada Negara.

 

YB DR. HAJAH HALIMAH ALI

EXCO PENDIDIKAN, PENDIDIKAN TINGGI DAN PEMBANGUNAN MODAL INSAN KERAJAAN NEGERI SELANGOR

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.