Categories
BERITA UTAMA

KIDEX: Menelusuri Pengalaman Projek CAR Kampung Sungai Terentang

 Berbeza dengan projek bertol Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk membina terowong bawah tanah dan 3 lebuhraya bypass yang dilaporkan di media bakal menelan belanja keseluruhan sehingga RM6.3 billion, perlu ditegaskan status KIDEX sebagai projek Kerajaan Persekutuan.

Perlu diingat bahawa Kerajaan Negeri terikat dengan Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan yang menetapkan bidang kuasa dan prerogatif bagi Kerajaan Negeri dan Persekutuan sama ada dalam senarai persekutuan, negeri atau bersama.

kidex2Antaranya, perhubungan dan pengangkutan serta kerja raya dan pembekalan utiliti terkandung dalam senarai persekutuan meskipun sebarang perkara berkaitan tanah di bawah senarai negeri manakala perancangan bandar dan kampung di bawah senarai bersama.

Skop dan capaian bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dalam hal ehwal berkepentingan awam sebenarnya sangat meluas dan hampir mutlak. Dalam pembangunan infrastruktur dan kemudahan awam, peranan Kerajaan Negeri tidak lebih daripada memberi nasihat dan tiada kuasa menolak permohonan pengambilalihan tanah oleh Kerajaan Persekutuan.

Kerajaan Negeri hanya dibenarkan dengan alasan yang sangat munasabah, mempertikai kuantum pampasan yang akan diterima oleh mereka yang terjejas akibat pengambilahan tanah atau mencadangkan jajaran alternatif menurut Akta Pengambilalihan Tanah.

Namun, pendekatan yang diambil dan kejayaan Kerajaan Negeri Selangor menangani isu projek Pengukuhan Sistem Kawasan Tengah (CAR) merupakan bukti jelas dan penanda aras kebijaksanaan politik dan helah pentadbiran Dato’ Menteri Besar demi mencapai keseimbangan antara lunas undang-undang, hak Kerajaan Persekutuan dalam projek berkepentingan awam dan aspirasi rakyat supaya hak dan kepentingan rakyat akhirnya terbela.

CAR merupakan projek pemasangan kabel bervoltan tinggi di sepanjang jajaran pembinaan sejauh 59 kilometer yang merentasi Kampung Sungai Terentang di Rawang meliputi kawasan seluas 1.5 kilometer.

Projek mega Tenaga Nasional Berhad (TNB) ini sepatutnya bermula sejak 2007 tetapi telah ditangguhkan apabila penduduk setempat mengemukakan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

kg terentang aug 22 01Pada 27 September 2008, Dato’ Menteri Besar Selangor dilaporkan media membuat kenyataan bahawa Kerajaan Negeri ‘tidak pernah menghalang’ TNB daripada meneruskan projek CAR.

Malah, beliau juga turut mengesyorkan beberapa langkah yang harus dibuat oleh TNB, hampir sama dengan cadangan beliau bagi projek KIDEX – mengadakan siri perjumpaan dengan penduduk setempat dan keterlibatan konsultan bebas.

Di samping itu, beliau turut mencadangkan agar dua syor dipertimbangkan – menanam kabel bawah tanah supaya tiada langsung pengambilalihan tanah justeru penduduk kampung tidak perlu berpindah atau laluan alternatif yang tidak melibatkan kawasan berpenghuni.

 

Selepas September 2008, Kerajaan Persekutuan seakan terpaksa akur dengan pelbagai langkah yang dikira ‘menyusahkan dan memenatkan’ TNB untuk satu tempoh yang lama.

Keikhlasan and komitmen Kerajaan Negeri mencari penyelesaian menang-menang yang lebih menguntungkan rakyat semakin terserlah sambil mengenepikan pelbagai alasan yang dikemukakan TNB.

Menjelang hujung Disember 2011, Kerajaan Negeri Selangor memperhebatkan tekanan dengan mengarahkan TNB untuk ‘mempertimbangkan’ pembinaan pencawang elektrik bagi projek CAR di jajaran baharu iaitu di sepanjang Lebuhraya Persekutuan Rawang-Ipoh.

Idea ini tercetus setelah diberi taklimat oleh syarikat perunding kejuruteraan Aecom New Zealand yang menyarankan jajaran baharu atas beberapa faktor terutama beban  kos paling minimum dan bebas impak terhadap penduduk setempat.

Menjelang hujung Januari 2013, TNB akhirnya akur dengan ‘syor’ jajaran alternatif Kerajaan Negeri sekiranya projek CAR ingin dijayakan. Selain menyelamatkan Kampung Sungai Terentang yang didiami oleh 5,000 orang penduduk, keputusan TNB ini juga sekaligus menyelamatkan Kampung Batu 16, Sekolah Menengah Kebangsaan Batu 16 Rawang dan beberapa bangunan awam yang lain.

Justeru, persetujuan secara dasar Kerajaan Negeri terhadap projek KIDEX sejak 2012 dan tidak menolak mentah-mentah sebarang projek Kerajaan Persekutuan sebenarnya wajar dan perlu demi memenuhi tuntutan undang-undang berdasarkan status bidang kuasa Kerajaan Persekutuan sebagaimana yang termaktub dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Malah, pada pusingan berikutnya, Kerajaan Negeri telah mula “mengorak langkah” yang seakan sama dengan strategi bagi projek CAR dengan menolak permohonan memulakan projek KIDEX sebanyak tiga kali melalui Majlis Bandaraya Petaling Jaya atas alasan gagal menyediakan perincian dan dokumen yang diperlukan di samping mencadangkan jajaran alternatif sebagaimana yang termaktub dalam Akta Pengambilalihan Tanah.

Inilah antara instrumen yang dijangka akan terus menjadi antara ‘bargaining chips’ Kerajaan Negeri sehingga akhirnya Kerajaan Persekutuan terpaksa mengalah dan setuju dengan penyelesaian yang memihak kepada rakyat. Sesungguhnya, kejayaan rakyat dalam projek CAR wajar menjadi panduan dan bukti ampuh.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.