Categories
NASIONAL

Mat Sabu: Kebijaksanaan sultan percepat akhiri kemelut politik Selangor

KOTA TINGGI 16 SEPT: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yakin kemelut politik yang melanda Selangor selesai dalam tempoh terdekat melalui kebijaksanaan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Berucap pada Muktamar Pemuda PAS ke-55 bertema Memperkukuh Muafakat, beliau yakin Sultan Selangor tentunya tidak mahu melihat negerinya tidak tenang akibat kemelut berkenaan.

“Saya yakin Sultan Selangor mahu negerinya tenang, rakyatnya hidup tenang dan menikmati pelbagai pembangunan yang seimbang,” katanya ketika merasmikan muktamar dua hari bermula 16 September di Dewan Chon Moi di sini, hari ini.

Mohamad Sabu berkata, PAS memainkan peranan penting dalam kemajuan negeri itu khususnya dalam memakmurkan masjid dan kebajikan rakyat termasuk zakat yang turut dilakukan di Pulau Pinang dan Kelantan.

Sambil meminta semua pimpinan bergabung tenaga semula sesegera mungkin sebaik sahaja kemelut itu berakhir, beliau mengingatkan perwakilan PAS betapa musuh sebenar rakyat ialah Umno BN.

“Saya harap, apabila kemelut ini selesai. Dan saya percaya ia akan berlaku dalam tempoh terdekat hasil kebijaksanaan Sultan Selangor, kita kembali bersatu padu melawan Umno,” katanya.

Mengingatkan perwakilan mengenai kezaliman Umno dalam Tragedi Memali, beliau meminta perwakilan tidak terpedaya dengan umpan janji manis Umno yang kelihatan berlembut kepada PAS kebelakangan ini.

“Jadi, kalau Umno berani-berani hulur tangan, kita tampar tangan itu,” katanya diiringi laungan takbir.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.