Categories
SELANGOR

MB: Air Selangor urus penstrukturan air, saham ditawar umum

SHAH ALAM 15 SEPT: Sebahagian saham Air Selangor akan ditawarkan kepada umum selepas selesai penstukturan dan setelah syarikat berkenaan menunjukkan rekod keuntungan baik.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata ia adalah seperti yang diumumkan beliau sebelum ini.

Katanya, sebarang kenaikan tarif air pada masa hadapan akan dilakukan pada kadar berpatutan di bawah kawal selia SPAN dan hanya dengan persetujuan Kerajaan Negeri.

“Penstrukturan semula industri air Selangor memberi banyak manfaat kepada rakyat kerana isu beban hutang dan bon industri air diselesaikan secara muktamad,” kata Abdul Khalid dalam kenyataan media.

Katanya, Perjanjian Utama yang ditandatangani Kerajaan Selangor dan Kerajaan Pusat pada Jumaat lalu adalah konsisten dengan tawaran dibuat kepada empat syarikat konsesi air semenjak 2012.

Isu pengambilalihan SPLASH akan diselesaikan berasingan namun ia tidak akan menganggu Kerajaan Negeri dalam usaha mengambilalih industri air Selangor menerusi entiti baru, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

“Hanya satu syarikat iaitu Air Selangor yang mengendalikan rawatan dan pengagihan air demi perkhidmatan air lebih cekap dan kompetitif,” kata Abdul Khalid dalam kenyataan media.

Beliau berkata, antara terma penting Perjanjian Utama ialah suntikan aset negeri Kerajaan Negeri bernilai RM14.92 bilion ke dalam Air Selangor dan penyediaan dana Persekutuan sehingga RM2 bilion.

Ini untuk membolehkan Kerajaan Negeri mengambil alih empat konsesi air di Selangor.

“Pemindahan aset air kepada Perbadanan Aset Air Berhad (PAAB) adalah secara pegangan pajakan selama 45 tahun termasuk kesemua liabiliti seperti hutang air dan bon SYABAS, PNSB dan ABBAS berjumlah RM6.1 bilion bersama aset air milik konsesi,” katanya.

Baca kenyataan media penuh di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published.