Categories
SELANGOR

MB: Istana bakal umum MB baru, semua diminta bersabar

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 SEPT: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meminta semua pihak dapat bersabar sementara menunggu maklum balas istana berhubung calon Menteri Besar baru.

Abdul Khalid berkata, pihaknya dimaklumkan ketiga-tiga parti Pakatan Rakyat (PR), PKR, PAS dan DAP sudah menghantar nama calon-calon cadangan kepada DYMM Sultan Selangor.

SULTAN SELANGORUntuk itu, katanya, semua pihak diharapkan dapat membenarkan proses selanjutnya dijalankan mengikut tatacara Undang-undang Tubuh Negeri serta adat istiadat negeri Selangor.

“Saya percaya proses seterusnya akan menyusul dan pihak istana dakan memberi maklum balas terhadap cadangan diberikan.

“Sehingga proses selesai, pentadbiran Kerajaan Negeri akan berjalan seperti biasa di bawah Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) sedia ada,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat MMKN hari ini.

Menjawab soalan tambahan, Abdul Khalid menjelaskan beliau tidak akan terlibat dengan sebarang perbincangan berhubung penggantinya dan akan menyerahkan kepada kebijaksanaan Sultan Selangor.

“Saya minta untuk tidak terlibat kerana ada kepentingan dalam perkara ini, sebab itu lebih baik jika saya diberitahu sahaja.

“Terpulang kepada budi bicara sultan,” katanya merujuk kepada sama ada perbubaran akan diadakan.

Pada 25 Ogos lepas, Sultan Selangor menitahkan setiap parti PKR, PAS dan DAP menghantar sekurang-kurangnya dua nama untuk dikemukakan sebagai calon Menteri Besar.

Bagaimanapun, PKR dan DAP menegaskan akan menghantar satu calon sahaja iaitu Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Sementara itu, PAS menghantar tiga nama calon kesemua daripada parti PKR bagi menghormati titah Sultan Selangor.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.