Categories
SELANGOR

MB: MPSJ bandar hijau 2030, tingkat peduli alam

Oleh: AFEEQA AFEERA

SUBANG JAYA, 27 SEPT : Projek Bandar Hijau Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) usaha proaktif pihak berkuasa tempatan (PBT) meningkatkan mutu kehidupan masyarakat melalui kelestarian kediaman, kemampanan bandar serta penggunaan sumber tenaga berkesan.

Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali, berkata pelaksanaan projek berkenaan tepat pada masanya kerana konsep ‘hijau’ menekankan ciri mesra alam menjadi trend global dalam agenda pembangunan bandar.

Malah beliau yakin tema kemampanan bandar ini terus menjadi agenda utama dalam rangka kerja perancangan bandar di Malaysia khususnya di negeri Selangor.

“Projek seumpama ini mungkin merupakan perkara baru bagi masyarakat kita, namun idea dan pandangan ini mulai menular secara global,” katanya semasa merasmikan Hari Komuniti Bandar Hijau MPSJ di One City Mall, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Azmin turut mengingatkan masyarakat supaya sedar terhadap aktiviti yang boleh meninggalkan kesan negatif kepada ekologi alam sekitar

Katanya masyarakat perlu memainkan peranan yang lebih peduli kepada alam sekitar bagi mengurangkan kemudaratan kepada ekologi alam.

“Di Eropah kini terdapat pembangunan bandar menerapkan prinsip hijau dalam proses pembangunan semula, manakala Park City Minami Senrioka di Osaka pula merupakan satu inisiatif bandar rendah karbon yang turut dilengkapi stesyen kereta api neutral karbon yang pertama di Jepun.

“Justeru bagi menjadikan Subang Jaya sebagai ‘vibrant city’ MPSJ selaku PBT juga bertanggungjawab untuk melaksanakan idea ini secara holistik termasuk melalui pengenalan dasar dan polisi Kerajaan Negeri yang peduli alam sekitar,” katanya lagi.

Melalui pelaksanaan projek ini, MPSJ bakal distruktur ke aras bandar mampan dan menjadi bandar hijau sepenuhnya menjelang tahun 2030.

Antara aktiviti yang dilaksanakan sempena pelancaran Hari Komuniti itu adalah program larian hijau, kayuhan Fun Ride, pameran dan gerai jualan selain pelancaran Bas Elektrik kepada orang awam.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.