Categories
SELANGOR

MB: Penstrukturan air ditandatangani dalam masa terdekat

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 3 SEPT: Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat dijangka memeterai perjanjian penstrukturan semula industri air pada hujung minggu ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata penyelesaian isu itu kini memasuki peringkat akhir melibatkan kesemua konsesi termasuk Syarikat Pengeluar Air Selangor Bhd (Splash).

Exco MBKatanya, perjanjian itu termasuk terma dipersetujui kedua belah pihak dalam menyelesaikan isu berkaitan Splash.

“Perjanjian ini sudah memasuki peringkat akhir, dijangka ditandatangani pada hujung minggu ini atau minggu hadapan.

“Seperti dimaklumkan sebelum ini, Splash kita tundakan hingga selesai mengikut Akta Industri Perkhidmatan Air (WSIA),” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Exco hari ini.

Sementara itu, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Mahdzir Khalid turut memaklumkan perjanjian jual beli akan ditandatangani minggu ini.

Ia termasuk beberapa siri sesi menandatangani perjanjian yang membolehkan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) mengambil alih syarikat konsesi air Selangor.

Pada 1 Ogos lalu, Kerajaan Negeri diwakili Abdul Khalid menandatangani Perjanjian Dasar Induk (HoA) dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Tawaran berjumlah RM9.65 bilion terhadap empat syarikat konsesi air dimuktamadkan bagi melaksanakan Penstrukturan Semula Industri Air dan pembinaan projek Langat 2 yang dirancang sejak 2006.

Bagaimanapun, hanya pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Bhd (Splash) saja yang masih belum dimuktamadkan.

Selain Splash, tiga lagi syarikat konsesi air Selangor adalah Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Puncak Niaga Sdn Bhd (PNSB) dan Konsortium Abbas Sdn Bhd (Abbas).

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.