Categories
SELANGOR

MB: Perjanjian air dimuktamad hujung minggu ini

Oleh: AFEEQA AFEERA

SEPANG, 8 SEPT: Kerajaan Selangor bercadang untuk memeterai perjanjian penuh berhubung pengambil alihan industri air di negeri itu sebelum akhir minggu ini, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Beliau berkata perbincangan kini adalah tertumpu kepada usaha menentukan perkataan dan terma yang terkandung di dalam perjanjian itu supaya ia dipersetujui oleh semua pihak.

air-syabas_MB1“Cadangan kita ialah kita ingin menandatangani perjanjian itu sebelum akhir minggu ini.

“Perbincangan bukan lagi pasal strategi tetapi perkataan di dalam perjanjian tersebut supaya dipersetujui semua pihak,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Pemsea Network of Local Governments Forum 2014 di Avani Sepang Gold Coast Resort, dekat sini pagi tadi.

Terdahulu, Abdul Khalid mendedahkan perbincangan antara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Pusat kini sudah mencapai fasa terakhir dan Selangor bakal mengambil alih semua syarikat konsesi air di negeri itu.

Kerajaan Persekutuan dan kerajaan Selangor pada 2 Ogos lalu menandatangani perjanjian dasar induk berhubung penstrukturan semula industri bekalan air dan penyelesaian jangka panjang isu air di Selangor.

Perjanjian tersebut ditandatangani Abdul Khalid dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili mewakili kerajaan persekutuan.

Perjanjian berkenaan adalah lanjutan kepada perjanjian persefahaman (MOU) yang ditandatangani kedua-dua pihak pada 26 Februari berkaitan pembinaan loji rawatan di Hulu Langat Selangor.

Abdul Khalid sebelum ini menemui Ongkili bagi membincang keputusan terakhir ketiga-kiga syarikat konsesi yang bersetuju dengan tawaran pengambilalihan bernilai RM 9.65 bilion oleh kerajaan Selangor.

Ketiga-tiga syarikat itu iaitu, Puncak Niaga Sdn Bhd, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas) dan Konsortium Abbass Sdn Bhd (Abbas) telah pun bersetuju dengan tawaran yang diterima tetapi belum menandatangani perjanjian hitam putih untuk diserahkan di bawah pentadbiran baru.

Satu lagi iaitu Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (Splash) pula menolak tawaran tersebut.

Bagaimanapun semua pihak bersetuju menguatkuasakan Akta Perkhidmatan dan Industri Air (WSIA) bagi membawa Splash bersama mereka.

Pengambilalihan itu kemudiannya diletakkan di bawah satu syarikat konsortium air iaitu Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB), syarikat milik penuh kerajaan Selangor.

Sebelum ini Pengurusan Aset Air Bhd (PAAB) berkata Perjanjian dasar induk penstrukturan semula air Selangor tidak akan terjejas walaupun tanpa penyertaan Splash.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.