Categories
SELANGOR

MB: Senarai exco dipersembah kepada Sultan esok

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 24 SEPT: Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali memaklumkan pihaknya sedang meneliti barisan Exco Selangor yang baru dan memberi jaminan ia akan selesai esok.

Katanya beliau akan menghadap DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah esok untuk memaklumkan perkara berkenaan sebelum Majlis Angkat Sumpah pada Jumaat ini.

MB Azmin“Belum ada (exco baru). Sekarang ini kita sedang teliti barisan exco baru dan disusuli pertemuan kedua petang ini.

“Insya Allah kita akan selesaikan proses ini dan pada hari Khamis saya akan menghadap tuanku manakala majlis angkat sumpah pada hari Jumaat.

“Kita akan bincang,” katanya kepada pemberita di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK) setelah memulakan tugasnya sebagai Menteri Besar ke-15 hari ini.

Sebelum ini, Azmin memaklumkan bahawa beliau tidak menolak kemungkinan akan berlaku rombakan dalam barisan Exconya.

Katanya kedudukan wajah baru pentadbirannya itu akan ditentukan melalui perbincangan bersama pimpinan Pakatan Rakyat.

Semalam, empat Exco kerajaan negeri daripada PAS masing-masing meletakkan jawatan mereka selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menamatkan tugas rasminya sebagai Menteri Besar Selangor.

Perletakan jawatan mereka berkuat kuasa semalam atas alasan pelantikan mereka sebelum ini adalah atas pilihan Abdul Khalid ketika menjadi Menteri Besar.

Selain Iskandar, tiga lagi Exco terbabit ialah Dr. Ahmad Yunus Hairi, Dr. Halimah Ali dan Sallehen Mukhyi.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.