Categories
SELANGOR

MDHS pergiat operasi banteras kegiatan haram

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 18 SEPT : Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) giat menjalankan beberapa operasi sepanjang Ogos lalu bagi membanteras kegiatan serta aktiviti yang tidak mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Penolong Pegawai Penerangan MDHS, Junainah Abdullah, berkata antara operasi dijalankan melibatkan sitaan pusat siber tanpa lesen, pembuangan sampah haram, denggi, premis makanan tanpa lesen serta aktiviti karaoke terbuka di tempat awam.

operasiBeliau berkata bagi operasi ke atas pemantauan pembuangan sampah haram, sebanyak empat buah kompaun dikeluarkan terhadap orang awam yang didapati membuang sampah di kawasan larangan.

Katanya tindakan itu adalah berdasarkan Undang Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan,dan Pelupusan Sampah (MDHS) 2007.

“Sikap tidak bertanggungjawab orang awam membuang sampah di situ kerana lokasi adalah jalan di kawasan perumahan dan berhampiran pusat perniagaan yang mana orang ramai melalui kawasan tersebut.

“Penduduk sekitar diseru bekerjasama dengan memberikan maklumat kepada MDHS bagi memastikan aktiviti seperti ini dapat dibanteras,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi pusat siber kafe yang beroperasi tanpa lesen, Junainah berkata sebanyak lima kompaun serta tiga notis am suah dikeluarkan ke atas dua buah premis yang diserbu.

Katanya dalam operasi itu, sebanyak 67 unit komputer telah disita berdasarkan Undang-Undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber (MDHS) 2007.

Manakala bagi operasi pemantauan premis makanan yang beroperasi tanpa lesen, sebanyak 15 premis diperiksa dan satu kompaun dikeluarkan atas kesalahan di bawah Undang Undang Kecil Perlesenan, Establismen makanan (MDHS) 2007.

Dalam operasi lain, MDHS turut bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor dalam usaha menggempur penularan wabak denggi dan mengeluarkan Notis Am terhadap pemilik rumah yang gagal menjaga kebersihan rumah.

“Tindakan diambil di bawah seksyen 81, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang memperuntukkan kesalahan bagi mana mana orang yang membiarkan rumah dalam keadaan kotor .

“Operasi ini dilaksanakan bagi membendung penularan demam denggi yang semakin berleluasa,” katanya lagi.

Selain itu, notis am turut dikeluarkan ke atas operasi melibatkan aktiviti karaoke di tempat terbuka serta dikenakan kepada pemilik kereta buruk yang diletakkan ditempat awam.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.