Categories
NASIONAL

Mohamad Sabu sindir perbahasan melalui doa, lepas ini baca talkin?

Oleh Afix Redzuan

BATU PAHAT, 20 SEPT: Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu menyindir perbuatan ‘perbahasan melalui doa’ pada sesi perbahasan perwakilan Muktamar Tahunan PAS ke-60 semalam yang disifatkannya sebagai taktik baru.

Secara seloroh, beliau berkata, bacaan doa biasanya dibuat dalam siri ceramah politik apabila diganggu Polis Simpanan Persekutuan (FRU) yang mahu menghentikan ceramah.

“Pertama kali dalam sejarah jadi ahli, saya nampak ucapan dalam bentuk doa. Kita dulu guna juga doa. Bila masa ceramah, FRU suruh bersurai, kita pun berdoa. Polis nak larang, doa. Kalau (Allahyarham) Ustaz Abu Bakar Chik, dia berdoa panjang.

“Panjang dia (perwakilan) bercakap. Pengerusi Tetap hendak sekat, ini doa. Rupa-rupanya taktik baru. Lain kali kita baca talkin pula,” katanya disambut gelak tawa perwakilan pada sesi penggulungan, hari ini.

Menjadi sasaran kecaman sebahagian perwakilan berikutan berbeza pandangan dengan Presiden PAS, Mohamad Sabu juga secara sinis meneruskan sindiran berikutan perwakilan itu dipercayai tidak menggunakan nama sebenar.

“Bagaimanapun keberanian bercakap itu, alhamdulillah baik. Cuma kalau berani pun nama sebenar tidak berani sebut. Kita dalam majlis pun kata namaku Mohamad bin Sabu,” katanya.

Sesi perbahasan semalam sedikit kecoh apabila perwakilan Wilayah Persekutuan dengan nama sebenar, Azhar Yaakob menyampaikan perbahasan melalui bacaan doa dalam mengecam tindak tanduk rakan seperjuangan.

Doa hampir 30 minit itu antaranya mengkritik Langkah Kajang dan tindakan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor dari PAS yang menandatangani akuan bersumpah menyokong Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Menteri Besar.

Bagaimanapun, Mohamad Sabu kekal tenang, malah mendakwa berasa seronok meskipun lantang dikritik perwakilan serta berpendapat ia  perkara biasa dalam budaya demokrasi yang diamal PAS.

Namun, beliau ‘tidak seronok’ berikutan ada pihak tertentu yang melempar cat merah pada posternya di sekitar muktamar.

“Yang tak seronok gambar saya depa (mereka) bubuh cat. Ini tak seronoklah. Nanti muslimat marah,” katanya sambil berjenaka yang kemudian disambut gelak tawa dewan.

Saksikan siaran langsung Muktamar Tahunan PAS ke-66 melalui tvselangorku.com

Leave a Reply

Your email address will not be published.