Categories
NASIONAL

Muktamar PAS: Pemuda bawa gagasan segar politik orang muda

Oleh: AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 SEPT: Idea gagasan politik budiman dijangka diketengahkan Ketua Pemuda PAS, Suhaizan Kayat dalam ucaptama Muktamar Dewan Pemuda PAS kali ke-55 yang akan berlangsung 16 dan 17 September ini.

Katanya, budaya politik ini perlu diketengahkan terutama dalam situasi politik sekarang yang berdepan dengan pelbagai krisis

muktamar PAS“Satu politik anak muda yang segar iaitu politik budiman. Secara ringkas dan mudahnya adalah politik bijaksana.

“Ia merujuk bagaimana budaya politik ini dapat diwujudkan dalam situasi masa kini,” Katanya kepada Selangor Kini.

Selain itu katanya, muktamar dewan pemuda bakal memberikan penekanan terhadap pengukuhan muafakat terhadap Pakatan Rakyat yang kini berhadapan isu besar terutama krisis Menteri Besar Selangor.

Tambahnya, dalam ucapan yang akan disampaikan di Kota Tinggi ini turut melibatkan beberapa teguran terhadap parti daripada sudut pandang pemuda dalam memacu parti untuk terus kehadapan dalam menguruskan persepsi rakyat serta persediaan menghadapi pilihan raya.

“Dalam ucaptama pemuda kita memberi penekanan dibawah tajuk memperkukuh muafakat yang mana kita ambil bersesuaian dengan situasi kini.

“Di sana kita ada beberapa teguran yang kita buat dalam hal yang berkaitan isu Selangor, isu Kelantan dan pentadbiran PAS itu sendiri.

“Kita juga memasukkan penilaian kita terhadap prestasi kita sendiri di peringkat Pemuda PAS Malaysia dan apa yang kita nak laksanakan dalam tempoh kedepan ini,” jelasnya lagi.

Dari aspek perwakilan beliau menjangkakan isu semasa yang melibatkan parti, kerja-kerja pengukuhan bersama parti komponen Pakatan Rakyat dan gerak kerja mendepani masa akan datang bakal dibangkitkan dalam muktamar kali ini.

Muktamar Tahunan PAS ke-60 bakal berlangsung selama tiga hari bermula 18 September hingga 20 September di Dataran Parit Sallleh Ros, Parit Raja, Batu Pahat.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.