Categories
BERITA UTAMA

Nurul Izzah: “Bersuaralah buat Malaysia”

Saya baru selesai menonton video pendek karya sebuah syarikat pengiklanan – Naga DDB yang mempamerkan kesediaan warga Malaysia biasa dalam mempertahan teman-teman Melayu, Cina ataupun India dengan keengganan menggunakan bahasa kesat lagi rasis Dalam suatu sesi penggambaran – walau ditawar bayaran lumayan.

Karya tersebut memberi kesan mendalam kepada saya ; membangkit semangat patriotik; serta melahirkan rasa sebak setiakawan buat warga negara saya semuanya.

Nurul-IzzahKebelakangan ini, jarang sekali kesatuan kita lahir dari dhamir nurani tanpa paksaan.

Apatah lagi, pasca PRU yang ke 13 hanya memperlihatkan pendakwaan demi pendakwaan yang dilakukan terhadap pemimpin pembangkang – kini menular pula kepada para akademik, mahasiswa, pelajar belasan tahun, wartawan, hingga membangkitkan pertanyaan – who’s next?

Antara mangsa Termasuk mantan Menteri Besar Perak, ds Nizar Jamaluddin ; Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli; Adun Seri Delima,RSN Rayer; Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad; Ahli Parlimen Padang Serai dan peguam Anwar Ibrahim N.Surendran; yang didakwa atas akta yang sama; Prof Azmi Sharom; wartawan Susan Loone.

Aktivis mahasiswa, Safwan Anang baru-baru ini dipenjara 10 bulan selepas didapati bersalah dibawah akta ini.

Pada hemat saya, Perdana Menteri kita sebenarnya juga sedar akan betapa akta ini sudah lagi tidak sesuai dengan konteks politik moden hari ini. Sekiranya tidak masakan Dato’ Seri Najib berjanji akan memansuhkan akta drakonian ini, dan menggantikan dengan sebuah Akta Keharmonian Nasional pada Hari Malaysia 2012 atas faktor ingin menjaga kestabilan negara dan menjaga tatatertib kebebasan bersuara.

Akan tetapi, sehingga ke hari ini ia masih digunakan untuk mengekang suara-suara mahasiswa, ahli akademik dan pimpinan pembangkang yang kritikal terhadap kerajaan.

Akta Hasutan ini telah diperkenalkan oleh pihak pemerintah British pada tahun 1948, yang didasarkan kepada Akta Hasutan 1661 yang terdapat dalam undang-undang negara penjajah tersebut. Pada masa akta ini diperkenalkan, ianya bertujuan untuk mengekang suara-suara pejuang-pejuang yang menentang British pada ketika itu, untuk mengelakkan suara-suara ini daripada mempengaruhi orang ramai untuk bangkit menentang penjajah-penjajah yang menjadi parasit kepada kekayaan negara.

Alangkah sedihnya, selepas 57 tahun Malaysia merdeka daripada penjajah British, kita masih lagi mengekalkan legasi buruk daripada British ini.

Tambahan pula, pendakwaan yang dilakukan amat mengundang curiga. Apa taknya, pendakwaan yang kita lihat kebelakangan ini amat memilih bulu, ataupun pendakwaan dilakukan secara selektif Mengapa selepas dua tahun pengumuman pemansuhannnya, kebanyakan pimpinan yang didakwa hanyalah dari kalangan pembangkang? Mengapa tiada tindakan diambil terhadap pimpinan BN, dan NGO ultra-melayu seperti ISMA dan Perkasa?

Akta ini begitu jelas digunakan sewenang-wenangnya oleh kerajaan untuk mengekang suara kritikal dari pimpinan pembangkang dalam mengkritik dasar-dasar kerajaan yang tidak betul.

Ada juga yang cuba mempertahankan undang-undang ini dengan mengatakan ianya perlu bagi memastikan keharmonian kaum terjaga di Malaysia. Malaysia sebenarnya mempunyai undang-undang yang cukup untuk menjaga keharmonian kaum.
Seksyen 505, Kanun Keseksaan mengatakan,:

Barang siapa membuat, menerbitkan atau mengedarkan apa-apa kenyataan, khabar angin atau berita-

(b) Dengan niat hendak menyebabkan, atau yang mungkin menyebabkan, ketakutan atau kegentaran kepada awam, atau kepada mana-mana golongan awam supaya oleh yang demikian itu seseorang mungkin terdorong melakukan sesuatu kesalahan terhadap Negara atau terhadap ketenteraman;

atau

(c) Dengan niat hendak mengapikan atau yang mungkin mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain;
Hendaklah diseksa dengan penjara yang boleh sampai dua tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya.

Walaupun pada tahun 2013 yang lalu, saya mengusulkan Rang Undang-Undang Hasutan (Pemansuhan) ke pejabat Setiausaha Dewan Rakyat, sehingga ke hari ini, ianya masih belum mendapat respon daripada pihak berwajib.

Akta ini jelas melanggar semangat kebebasan bersuara sebagai hak asasi rakyatnya seperti yang termaktub di dalam perlembagaan. Ianya bukanlah demi menjaga keharmonian kaum seperti yang digembar-gemburkan akan tetapi sebagai “political assassination” terhadap sesiapa sahaja yang melawan polisi kerajaan dan bersikap kritikal terhadapnya.

Justeru, saya mengulangi semula tuntutan saya supaya Akta Hasutan 1948 ini dimansuhkan serta merta dan supaya Perdana Menteri menunaikan janjinya 3 tahun yang lepas.

Hentikan langkah-langkah yang memupuk kebencian. Belajarlah daripada warga negara Malaysia yang tidak bernama – seperti direkod dalam karya Naga DDB.

Bersuaralah buat Malaysia – untuk menegur , memperbaiki , mempertahan satu-sama lain – jangan termakan hasutan atasan.

* Nurul Izzah Anwar adalah Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Lembah Pantai

Leave a Reply

Your email address will not be published.