Categories
NASIONAL

PAS yakin rampas semula DUN Pengkalan Kubor

Oleh: NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 15 SEPT: PAS yakin calon mereka dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor, Wan Rosdi Wan Ibrahim mampu merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) itu daripada Barisan Nasional (BN).

Pengarah Operasi PRK Pengkalan Kubor, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata Wan Rosdi merupakan seorang Penyelia DUN dan aktivis PAS yang sudah dikenali masyarakat di Pengkalan Kubor.

Logo-PKR-DAP-PAS“Bukan dia sahaja cergas sebagai aktivis PAS tetapi Allahyarhamah isteri beliau yang meninggal bulan puasa lepas juga merupakan Ketua Muslimat PAS Kawasan sejak 1995. Jadi kedua-duanya ini sudah jadi aktivis dalam PAS sudah lama sejak hampir 20 tahun lalu.

“Dia merupakan aktivis yang sudah biasa dengan program kemasyarakatan di sini, dikenali dan sudah mesra rapat dengan orang di sini, salurkan bantuan rakyat ditimpa musibah dan macam-macam tugas yang selalunya dilakukan ADUN.

“Kehadiran dalam masa enam tahun sudah jadi kelaziman, setiap hari, bukan sekali sekala. Malah bagi masyarakat di sini sudah kenal dia dan anggap bukanlah satu kejutan apabila beliau dipilih untuk bertanding di sini,” kata Wan Abdul Rahim ketika dihubungi Selangor Kini di sini, hari ini.

Tambah Wan Abdul Rahim lagi, Wan Rosdi juga merupakan Ketua Unit Amal PAS Kawasan Tumpat pertama iaitu sebuah unit sering membantu orang ramai ditimpa kesusahan atau musibah seperti banjir dan lain-lain.

Mengulas hari kedua kempen PRK Pengkalan Kubor yang sedang berlangsung, Wan Abdul Rahim memberitahu tiada sebarang insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang kempen.

Sementara itu, Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, sambutan di hari kedua kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Pengkalan Kubur juga berjalan meriah dan lancar dengan kehadiran Presiden PAS, Datuk Seri Hadi Awang.

“Semua berjalan lancar dan bertambah meriah lagi dengan kehadiran Presiden PAS yang turut sama-sama berkempen membantu kemenangan calon PAS,” kata Dr Mohd Hatta kepada Selangor Kini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.