Categories
SELANGOR

Pasukan khas MBSA giat periksa kawasan pembiakan Aedes

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 SEPT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi Pasukan khas ‘Task Force’ Perangi Wabak Denggi terus mempergiatkan aktiviti pemeriksaan di beberapa kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk Aedes.

Timbalan Pengarah Korporatnya, Shahrin Ahmad berkata, sehingga minggu ke-35, didapati bahawa kawasan berstrata antara kawasan yang mempunyai pembiakan jentik-jentik Aedes yang tinggi.

MBSAKatanya, semasa pemeriksaan dijalankan, didapati 23 pembiakan positif jentik-jentik Aedes ditemui di kawasan berstrata.

“Hal ini kerana, kawasan berstrata terutamanya kawasan rumah kos rendah sering diabaikan oleh penduduk sekitar untuk memastikan kawasan tersebut berada dalam keadaan bersih.

“Kegagalan pihak Badan Pengurusan Bersama atau JMB dalam menyelenggara dan menyediakan perkhidmatan kebersihan juga merupakan salah satu punca pembiakan jentik-jentik Aedes di kawasan sekitar,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak ditubuhkan bulan lepas, sehingga kini sebanyak 248 bilangan premis dan sebanyak 122 bekas ditemui positif ada pembiakan jentik-jentik Aedes.

MBSA juga mengeluarkan 67 kompaun terhadap premis yang mempunyai pembiakan jentik-jentik di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171).

“Melalui hasil penemuan ini, MBSA berharap agar pemilik premis kawasan berstrata dapat mengambil iktibar dengan mengadakan aktiviti gotong royong membersihkan kawasan persekitaran.

“Kerjasama antara pemilik premis dan pihak pengurusan (JMB) amat diperlukan bagi mengelakkan wabak deman denggi menyerang kawasan mereka dan mengakibatkan kematian,” katanya lagi.

Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Denggi yang ditubuhkan bagi memantau dan menerima aduan serta laporan demam denggi di talian 03-5522 2793 sepanjang waktu pejabat.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.