Categories
SELANGOR

Pejabat Bergerak MBSA ‘Shah Alam On Wheel’ di Seksyen 7 Sabtu ini

SHAH ALAM, 25 SEPT: Pejabat bergerak ‘Shah Alam On Wheel’ dijadual singgah di perkarangan tempat letak kereta berdepan bangunan Jakel di Seksyen 7, Sabtu ini.

Timbalan Pengarah Korporat Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Shahrin Ahmad berkata, ia menyediakan 18 jenis perkhidmatan bersesuaian bagi memudahkan urusan rujukan, semakan dan pembayaran.

Pada kenyataan media, beliau berkata, orang ramai boleh mengunjungi Shah Alam On Wheel itu seawal jam 11 pagi sehingga 5 petang.

“Pejabat bergerak itu menyediakan perkhidmatan luar pejabat, suatu inisiatif MBSA untuk menambah baik sistem penyampaian (delivery system),” katanya.

Antara kemudahan itu, katanya, ialah semakan dan cetak bil dan penyata cukai taksiran, mengemas kini maklumat pemunya cukai taksiran dan bayaran cukai taksiran online.

Selain itu, beliau berkata, pembaharuan dan semakan lesen perniagaan, membuat aduan, penjualan kupon letak kereta juga disediakan.

Shahrin berkata, pejabat bergerak itu dapat mempertingkat sistem penyampaian kepada warga Shah Alam supaya maklumat terkini perkhidmatan MBSA disampaikan dengan berkesan.

“Ia juga antara langkah MBSA untuk memperbanyak aktiviti turun padang bagi memberi peluang kepada orang ramai berurusan,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.