Categories
NASIONAL

Pendidik desak tubuh suruhanjaya bebas siasat soalan UPSR bocor

Oleh Afix Redzuan

SHAH ALAM, 12 SEPT: Sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mendesak suruhanjaya bebas dibentuk bagi untuk menyiasat insiden kebocoran soalan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

Presiden Persatuan Gerakan Kebangkitan Pendidik Kebangsaan (Pendidik), Normala Sudirman berkata, ia perlu supaya kejadian sama tidak berulang pada peperiksaan lain.

“Di mana letaknya kejujuran dan sifat amanah pada ‘orang dalam’ yang diberi mandat untuk membuat soalan dan menggubal dasar jika perkara melibatkan UPSR pun boleh berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian pada kenyataan media, hari ini mengulas kebocoran kertas soalan UPSR bagi mata pelajaran Sains dan Bahasa Inggeris 1 & 2 tahun 2014.

Peperiksaan UPSR yang bermula pada 9 September sepatutnya berakhir pada 11 September 2014

Menyifatkan ia mencemar imej Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM), Normala berkata, ia mengakibatkan motivasi pelajar menurun kerana terpaksa menduduki semula peperiksaan.

Beliau berkata, perancangan musim cuti persekolahan ibu bapa dan guru bertugas juga terjejas berikutan soalan baru terpaksa digubal dan dicetak semula.

Katanya, kementerian perlu menyiasat secara terperinci dan mengheret pihak bertanggungjawab membocorkan soalan itu ke muka pengadilan dan dikenakan hukuman setimpal.

“Ia sebagai pengajaran kepada semua supaya menjalankan melaksanakan tugas yang diamanah dalam bidang pendidikan,” katanya.

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.