Categories
SELANGOR

Penerangan terma Perjanjian Utama ambil alih industri air Isnin

Oleh  AFEEQA AFEERA

PELABUHAN KLANG, 12 SEPT: Penerangan terperinci terma Perjanjian Utama pengambilalihan perkhidmatan air antara Selangor dengan kerajaan pusat akan dibuat pada Isnin depan.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, langkah pengambilalihan akan diberi bagi menentukan supaya ia dibuat dengan betul di samping rakyat terus menikmati sumber air pada harga berpatutan.

“Pada Isnin kita akan adakan penerangan terperinci mengenai terma yang kita dipersetujui dan ditandatangani dengan kerajaan persekutuan.

“Kita akan berikan langkah-langkah pengambilalihan untuk menentukan ia dibuat dengan betul dan hasilnya rakyat Selangor dapat air yang diurus dengan baik dengan harga berpatutan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Serahan Cek Bantuan Sekolah Tamil Fasa 2 di SJK (T) Watson, malam tadi.

Kerajaan Selangor memeterai Perjanjian Utama pengambilalihan perkhidmatan air dengan kerajaan pusat di Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air di Putrajaya pagi semalam.

Majlis itu melibatkan Menteri Datuk Seri Maximus Ongkili, Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim, Air Selangor Sdn Bhd, dan Pengurusan Air Berhad (PAAB) bagi membolehkan kerajaan negeri menguruskan industri air mengikut Akta Industri dan Perkhidmatan Air (WSIA) 2006.

Pada 1 Ogos lalu, kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Selangor menandatangani Perjanjian Dasar Induk berhubung penstrukturan semula industri air dan penyelesaian jangka panjang isu air di Selangor dengan tawaran pengambilalihan bernilai RM9.65 bilion.

Dalam kenyataannya semalam, Khalid berkata perjanjian itu dimuktamad dengan kos pengambialihan penstrukturan semula industri air lebih rendah dari tawaran awal iaitu RM7.45 bilion berbanding RM9.65 billion.

Leave a Reply

Your email address will not be published.