Categories
SELANGOR

Penjawat awam tiada masalah siapa MB, sedia kerjasama baik

Oleh : AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 24 SEPT : Penjawat awam di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) menyambut baik serta mengalu-alukan pelantikan Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor yang baru.

MB AzminBeberapa penjawat awam yang ditemui Selangor Kini menyatakan kesediaan untuk bekerjasama di bawah pentadbiran Menteri Besar baru selepas lebih enam tahun berada di bawah kepimpinan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Seorang kakitangan awam, Khalim Ibrahim, 62, berkata beliau merasa gembira terhadap pemilihan Menteri Besar baru dan berharap supaya Azmin dapat menjalankan pentadbiran negeri dengan baik dan lancar.

Katanya semua pihak tidak perlu membuat perbandingan dengan pentadbiran lalu, sebaliknya perlu terus komited menjalankan tugas masing-masing.

_MG_5914 copy“Sebagai kakitangan awam, kita terima sahaja siapa yang menjadi Menteri Besar dan bekerja macam biasa.

“Tiada masalah siapa yang dilantik,” katanya.

Pendapat sama turut dikongsi Kamal Ghazali, 48, yang berharap supaya pentadbiran negeri di bawah pimpinan Azmin akan bertambah baik dan memberi kelainan untuk kepentingan penjawat awam.

“Kalau harap dia boleh beri nafas baru untuk kepentingan negeri dan penjawat awam,” katanya yang sudah berkhidmat lebih daripada 25 tahun dalam sektor kerajaan.

_MG_5921 copyBagi Lili Bakar, 50, sesiapa sahaja yang dilantik sebagai Menteri Besar perlu menjalankan tanggungjawab dan amanah yang diberikan sebaiknya.

Beliau turut percaya Azmin mampu memberi khidmat terbaik dan menjaga kebajikan rakyat Selangor seperti yang dijanjikan Pakatan Rakyat (PR).

“Sesiapa sahaja jadi Menteri Besar, mereka perlu beri khidmat terbaik kepada rakyat, jadi terpulang kepada beliau (Azmin) untuk melaksanakannya.

“Kita terima dan sambut baik beliau sebagai Menteri Besar,” katanya.

Azmin hari ini secara rasmi memulakan tugasnya sebagai Menteri Besar Selangor yang baru setelah mengangkat sumpah sebagai pemimpin tertinggi negeri semalam di Istana Alam Shah, Klang.

Beliau tiba di perkarangan lobi Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) pada pukul 7.45 pagi tadi sebelum dibawa masuk ke pejabat Menteri Besar di Tingkat 21.

Azmin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor ke-15 di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

EZY

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.