Categories
BERITA UTAMA

Penstrukturan Semula Air – Siri 4

Sambungan artikel “Isu Penstrukturan Semula Air Diperjelas”

Ketujuh, Kerajaan Persekutuan didakwa engkar dengan terma dan syarat dalam MoU dan HoA (yang didakwa berat sebelah, longgar dan tidak mengikat) dan enggan melaksanakan janji menggunapakai WSIA 2006 untuk menyempurnakan proses penstrukturan semula industri air yang statusnya didakwa masih di takuk lama.

Hakikatnya, sebagaimana yang telah disaksikan dalam proses penyusunan semula industri air di Pulau Pinang, Perlis, Perak, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, komitmen Kerajaan Persekutuan bagi Selangor supaya selaras dengan semangat dan hasrat WSIA 2006 demi kepentingan rakyat tidak berubah. Sebagai contoh, metodologi penilaian terutama bagi menaksir pampasan bahagian ekuiti adalah konsisten dengan Perjanjian Penswastaan dan serupa dengan apa yang digunapakai di keenam-enam negeri ini.

air-syabas_MB1Sejajar dengan klausa “memudah cara” dalam MoU dan HoA, Kerajaan Pusat telah memainkan peranan besar dalam memastikan tiga syarikat konsesi iaitu Abbas, Syabas dan Puncak Niaga menerima tawaran KDEB sekaligus mengelakkan WSIA 2006 terutama Seksyen 114 dan mana-mana undang-undang yang berkuatkuasa dan berkaitan daripada digunapakai. Rundingan untuk mencapai persetujuan secara “willing buyer, willing seller” dengan Splash masih berlangsung meskipun kita tidak menolak kemungkinan WSIA 2006 dipertimbangkan untuk dikuatkuasakan sekiranya Splash terus berkeras menolak.

Perlu ditegaskan bahawa Kerajaan Negeri berkuasa penuh atas kelulusan “development orders” (DOs) atau arahan pembangunan berkaitan projek Langat 2. Sehingga kini, hanya DOs untuk membolehkan penempatan pagar dan kerja tanah di tapak pembinaan telah diluluskan. Tertubuhnya satu Jawatankuasa Bersama Pemandu Pelaksanaan Langat 2 yang dipengerusikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor dan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dapat memantau dan melicinkan pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 secara keseluruhan, dibantu oleh beberapa jawatankuasa kecil lain yang akan menyelia aspek berkaitan permit tanah dan pembangunan, isu infrastruktur dan teknikal, kos, pembekalan air mentah dari Pahang dan sebagainya.

Memandangkan betapa kompleks industri perkhidmatan air Selangor berbanding negeri lain, kejayaan penyusunan semula di Selangor memerlukan kebijaksanaan, kepakaran dan keupayaan yang berbeza dengan menggabungkan semua pendekatan sama ada korporat, tekanan awam atau pembujukan moral (moral suasion).

Kelapan, MoU atau Perjanjian Persefahaman dan HoA atau Perjanjian Dasar Induk yang ditandatangani antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan diragui kesahihannya, didakwa tiada kelulusan rasmi tanpa satu kertas yang dibentangkan dan dipersetujui di Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang memberi kuasa kepada Dato’ Menteri Besar untuk menandatangani MoU dan HoA bagi pihak Kerajaan Negeri dan rakyat Selangor. MoA dan HoA juga didakwa ditandatangani secara tergesa-gesa tanpa kelulusan parti.

Hakikatnya, satu kertas komprehensif menggariskan terma, syarat dan perincian lain mengenai cadangan penyusunan semula industri air dan konsolidasi syarikat-syarikat konsesi telah dibentangkan dan diluluskan oleh MMKN pada awal 2013 sebelum MoU ditandatangai dan tawaran KDEB dibuat pada 20 Februari 2013. Oleh kerana tiada perubahan ketara dari segi maksud dan tujuan, ahli MMKN sebenarnya sedia maklum dan setuju dengan intipati dan semangat MoU dan juga HoA yang memperincikan dengan lebih mendalam kerjasama Kerajaan Negeri-Persekutuan dan segala terma, syarat dan spesifikasi lain meskipun mungkin belum meneliti isi kandungan perjanjian-perjanjian ini secara keseluruhan.

Ahli MMKN juga sentiasa diberi maklumat terkini dari semasa ke semasa mengenai perkembangan penyusunan semula industri air dan mana-mana perjanjian antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan. Maka, dakwaan bahawa MoU dan HoA dibuat di luar pengetahuan MMKN tidak berasas sama sekali meskipun notis diberi mengenai penganjuran majlis menandatangani adalah singkat yang mungkin boleh disalahtafsir sebagai tergesa-gesa. Perlu diingat proses rundingan dan perbincangan untuk menyusun semula industri air Selangor bermula sejak 2008 dan orang ramai sentiasa dimaklumkan tentang perkembangan terkini menerusi kenyataan media, laman sesawang, risalah/brosur dan siri jelajah penerangan.

Kerajaan Negeri juga berpendapat pengasingan hal-ehwal pentadbiran negeri daripada dipengaruhi secara melampau oleh mana-mana parti politik merupakan salah satu daripada prinsip urus tadbir yang baik.

Leave a Reply

Your email address will not be published.