Categories
KENYATAAN MEDIA

Perdagangan Malaysia-Israel: Kerajaan terus bermuka-muka

Oleh: Badrul Hisham Shaharin

Portal berita Times of Israel pada tarikh 14 September 2014 telah mengeluarkan satu artikel bertajuk Malaysia favors Palestinians But Buys From Israel.

Artikel tersebut telah mengesahkan berlakunya hubungan perdagangan dalam diam antara Malaysia dan Israel walaupun Malaysia sering menunjukkan sikap kritikal terhadap Israel.

HAIFA PORT ISRAEL-EDITMalah, Times of Israel juga memetik angka dan statistik yang sama seperti yang didedahkan oleh Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) selama ini iaitu peningkatan drastik jumlah perdagangan dengan Israel bagi tahun 2013 dan juga mengesahkan sumber maklumat yang diperolehi SAMM adalah benar dan tepat.

Kegagalan MITI dan Kerajaan Persekutuan untuk berlaku tegas dalam melaksana kempen Boycott, Divestment and Sanction dan menarik balik kelulusan kabinet tahun 1996 itu, telah menjadikan Perdana Menteri dan Malaysia ditonjolkan sebagai seorang yang bermuka-muka oleh media asing.

Turut didedahkan oleh portal berita tersebut bahawa statistik perdagangan dengan Israel telah dimasukkan ke dalam ruangan “Lain-lain Negara”.

Sifat munafik pemerintah cuba disorok dan rakyat negara ini disajikan dengan air mata pemimpin terhadap nasib Palestine.

Lebih mengejutkan, portal tersebut menyebut bahawa selain daripada perdagangan yang dinyatakan dalam statistik rasmi, sebenarnya terdapat banyak lagi perdagangan tersembunyi yang berlaku.

Adakah MITI tahu mengenai transaksi perdagangan tersembunyi yang dilakukan oleh pedagang-pedagang kapitalis ini? Apakah tindakan MITI terhadap transaksi tersembunyi ini?

MITI dan Kerajaan Persekutuan terus angkuh dan mengingkari janji untuk menilai semula perdagangan dengan Israel.

SAMM sebelum ini telah mendedahkan nilai perdagangan yang menjangkau USD 1.5 billion bagi tahun 2013 dan untuk tempoh 6 bulan pertama tahun 2014, nilai transaksi berjumlah USD 884.7 juta iaitu peningkatan 27% daripada tempoh yang sama tahun 2013.

Apalagi helah dan dolak-dalik yang akan dikemukakan oleh MITI dan Kerajaan Persekutuan kali ini?

Kamu teruskan berbohong kepada rakyat Malaysia tetapi SAMM tidak akan berhenti membongkarkan transaksi perdagangan antara Malaysia-Israel terutamanya dalam transaksi yang melibatkan hasil pertanian negara yang dihantar ke Israel.

SAMM juga akan membongkar satu lagi pendedahan terbaru mengenai hubungan dagang Malaysia-Israel dalam masa terdekat.

* Badrul Hisham Shaharin adalah Pengasas Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM)

Leave a Reply

Your email address will not be published.