Categories
KENYATAAN MEDIA

Pulau Pinang alu-alukan SPRM siasat peruntukan PPS

Oleh: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng

Serangan politik ganas terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang melalui tuduhan palsu dan penipuan terhadap Pasukan Peronda Sukarela berterusan tanpa henti dengan dakwaan palsu terbaru berkenaan rasuah dalam peruntukan kerajaan negeri yang diluluskan kepada PPS.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak menyembunyikan apa-apa dan mengalu-alukan sebarang siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membuktikan dakwaan terbaru ini sebagai satu pembohongan.

Kerjasama penuh akan diberikan kepada SPRM, yang pastinya hanya akan membuktikan semua perbelanjaan menepati prosedur kewangan kerajaan.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah berkali-kali dipuji oleh Laporan Tahunan Audit Negara sebagai antara negeri yang menunjukkan prestasi terbaik di negara ini.

Melalui urus tadbir CAT yang cekap, akauntabiliti dan telus, Pulau Pinang juga telah mencatatkan lebihan tahunan dan peningkatan rizab aset sebanyak 50% dari tahun 2008 kepada RM1.2 bilion pada tahun 2013.

Kerajaan negeri berhasrat untuk mengulangi pengumuman sebelum ini berhubung jumlah yang dibelanjakan untuk PPS adalah seperti berikut:

2011 – RM 869,820.00
2012 – RM 1,363,827.00
2013 – RM 1,592,482.90

Jumlah ini bukan RM 1.5 bilion yang didakwa oleh UMNO pada mulanya, yang kemudian dengan cepat “ditarik balik” dan berundur apabila dicabar untuk memberikan bukti.

Jumlah yang dibelanjakan untuk 9,002 anggota sentiasa di bawah kawalan kerana mereka bekerja secara sukarela tanpa gaji dan kerajaan negeri hanya menyediakan pakaian dan walkie-talkie.

Peranan PPS adalah terhad untuk membantu dalam perkara kecemasan dan menyahut seruan pihak polis untuk kerja-kerja komuniti polis bagi memerangi jenayah. Tidak ada sebarang masalah dengan pihak polis dalam tempoh 4 tahun lepas.

Hanya kerana satu dua orang anggota melakukan salah laku, tidak bermakna bahawa semua patut dihukum.

Jika itu logik yang digunapakai, maka wajarkah 120,000 anggota polis dihukum kerana kesalahan beberapa anggota polis menggunakan bahan letupan C4 untuk membunuh atau kes salah tembak baru-baru ini terhadap Puan Norizan Salleh, seorang ibu tunggal, yang memenangi pampasan RM300,000 akibat penderita yang beliau tanggungi?

Sekarang BN telah menjadikan PPS sebagai isu emosi yang sensitif kerana bermotifkan politik, terutamanya apabila ahli-ahli kini adalah berbilang kaum dengan 57% Cina, 33% Melayu dan 10% India.

Dengan meningkatkan bilangan orang Melayu yang mengambil bahagian, PPS akan menjadi 45% Melayu, 45% Cina dan 10% India menjelang akhir tahun 2015.

Kerajaan negeri mengulangi pendiriannya bahawa adalah sah untuk membentuk PPS sebagai unit sukarela.

Jika BN atau oleh Ketua Polis Negara (KPN) kini mempertikaikannya sedangkan PPS tidak pernah menjadi isu sejak 4 tahun lepas, biarkan mahkamah membuat keputusan dan kerajaan negeri akan menghormati dan mematuhi keputusan mahkamah.

Malah menegakkan kedaulatan undang-undang dilihat sebagai mencabar Ketua Polis Negara. Pemimpin PR berbeza daripada pemimpin-pemimpin BN.

Walaupun pemimpin PR berkemungkinan ditangkap, kami tidak akan membiarkan diri kami dibuli kerana melakukan tindakan yang betul. Sebagai pemimpin, kita mesti memimpin dari hadapan dan tidak memimpin atau bersembunyi di belakang.

Pembohongan oleh BN dan media BN terhadap Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan berterusan. Saya telah bersabar tetapi apabila kenyataan saya sendiri diputarbelitkan tanpa ada pembetulan dan pemohonan maaf, saya tidak mempunyai pilihan melainkan untuk memfailkan prosiding undang-undang.

Saya akan memulakan tindakan saman fitnah terhadap akhbar New Straits Times jika akhbar tersebut gagal menarik balik dan meminta maaf atas laporan palsu mereka.

LIM GUAN ENG

Leave a Reply

Your email address will not be published.