Categories
SELANGOR

Rakyat mahu Azmin teruskan dasar MES & tumpu masalah sampah

Oleh Nazli Ibrahim

SHAH ALAM, 25 SEPT: Rakyat menyambut baik hasrat Datuk Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang mahu meneruskan dasar kebajikan pelbagai skim melalui program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

Ahli Jawatankuasa Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 1 Petaling Jaya, Mohd Ikhsan Mohd Din berkata, mereka berharap pentadbiran baharu fokus kepada isu rakyat terutama masalah sampah dan kemudahan awam.

“Apabila ada isu sampah atau kemudahan awam, rakyat tidak pandang Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tetapi mudah menyalahkan Kerajaan Negeri.

“Jadi, Kerajaan Negeri kena beri perhatian serius untuk menambah baik aspek itu,” kata Setiausaha Persatuan Penduduk Apartment Idaman, Damansara Damai itu.

Mohd Ikhsan berharap kemelut politik Selangor yang berlarutan sekian lama tidak berlaku kerana ia menjejaskan kelancaran perkhidmatan jabatan kerajaan kepada rakyat.

Katanya, sebarang perselisihan antara pemimpin politik wajar diselesai di meja rundingan, bukan menerusi media yang menghangatkan kembali isu.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Apartment Saujana, Nazri Ismail pula berharap PBT di Selangor memperluas perkhidmatan bas percuma di penempatan penduduk berpendapatan rendah dan sederhana.

Beliau juga berharap Kerajaan Negeri memberi penjelasan mengenai isu perjanjian industri air bagi memberi kefahaman rakyat mengenai kedudukan sebenar isu berkenaan.

– FZL

Leave a Reply

Your email address will not be published.