Categories
BERITA UTAMA

Selamatkan Malaysia dengan dakwah

Oleh: Amidi Abdul Manan

Semalam keluarga besar jamaah dikejutkan lagi dengan berita kematian. Dua kematian dalam seminggu. Kematian tokoh besar dakwah negara. Mereka menyumbang dan berbakti tidak kira masa dan ketika, mendidik tidak mengira siapa muridnya, menegur tanpa mengira apa risikonya dan berwaspada pada setiap liku langkahnya.

Datuk Hashim Yahya dan Datuk Muhamad Rivai Batubara, dua tokoh ulama yang disegani. Mengemudi bahtera dakwah dari awal usia hingga ruhnya dipanggil kembali. Rasa bertuah menyelimuti diri apabila mengenang sikap dan sentuhan kepimpinan kedua-duanya dalam jamaah ini.

10632679_10152660259952766_1354509728446876787_nKami tidak mengenali kepimpinan ulama. Kami hanya mengenal kepimpinan Islam. Mungkin ini bertitik tolak dari faham keilmuan dengan menerima semua ilmu adalah bersumberkan dari Allah. Kebenaran juga adalah mutlak bagiNya.

Tidak dibezakan antara hukum Allah yang terumus dalam kitabullah dan hukum Allah yang terpancar dari alam semesta ini. Jika nur hidayah menembusi kegelapan hati maka akan tertunduklah keegoan dan nafsu jijik dari menguasai diri.

Jelas terbayang kasihnya ulama dalam jamaah ini. Tidak memandang rendah atau meminggirkan mereka yang bukan bergelar ustaz. Mendatangi dengan ilmu dan hikmah, mendidik dengan penuh sabar, mereka yang mula bertatih mengenali ‘Islam Sebagai Cara Hidup’. Bukan salah mereka kerana tidak mengenali Islam, tetapi suasana dan sistem pendidikan yang mengasingkan dan menjuzukkan ilmu yang membuatkan kita terpecah-pecah.

Kata-kata keramat ‘Mengulama’kan intelektual dan mengintelektualkan ulama’’ adalah sesuatu yang kita dokong dengan jujur dan bersungguh-sungguh. Apabila penyatuan antara keulamakan dan keintelektualan serta selagi mendokong matlamat dan gerakerja jamaah ini wajib untuk kita bantu dan sokong sepenuhnya.

Tiada dua kem dalam jamaah ini, kem ulama dan kem intelektual. Semuanya sebati, saling sokong menyokong, tegur menegur secara ramah tamah dan bahagia. Kita tidak mahu terperangkap dalam dualisme yang merugikan.

Justeru jamaah ini tidak canggung dan janggal untuk menerima pemimpin yang bukan dari kelompok ustaz kerana perbezaannya amat kecil dan boleh diabaikan.

Mungkin cara berfikir dan cara berkerja yang membezakan antara kita. Ia perbezaan yang normal dan bertepatan dengan tabi’e kerana kita adalah manusia yang mempunyai kepelbagaian dalam kecenderungan dan kemahiran.

Yang kita canggung adalah pemimpin yang sombong. Tidak kira datang dari golongan mana. Sombong dalam erti kata menolak kebenaran. Banyak gerakan Islam yang tergelincir dari landasan kebenaran apabila sombong menguasai diri pemimpinnya.

Mungkin fitnah boleh menerobos ke benak kita, apabila seorang Setiausaha Agung diangkat menjadi Presiden yang kedua. Manakala bekas Presiden itu di’turun’kan menjadi Ketua Biro Dakwah. Namun sehingga kini tiada kelihatan walau sedikit pun jua rasa tersinggung, apatah lagi rajuk hati.

Kita menerima amanah kepimpinan dengan rasa penuh tanggungjawab. ‘Taklif’ ini boleh membawa kita ke syurga atau sebaliknya. Tiada kemegahan dan kemasyhuran yang dijanjikan pada pangkat dan jawatan. Kejayaan jamaah adalah kejayaan semua dan kegagalan jamaah mesti ditanggung bersama.

Kedua-dua ayahanda kita yang telah pergi dijemput Ilahi, mempunyai ciri-ciri yang sedemikian. Setia dengan amanah ilmu, setia dengan amanah perjuangan dan setia dengan nilai persahabatan.

Marilah kita bersama mencontohi dua tokoh dakwah ini. Kita ini umpama seekor burung. Burung tidak dapat terbang jauh dan tinggi sekiranya hanya mempunyai bulu pelepah, atau hanya mempunyai bulu di ekor. Paruh bukan sekadar mematuk makanan, tetapi mematuk musuh yang mengancam.

Paruh juga tempat keluarnya kicauan yang merdu. Kaki yang bersalut sisik jangan dikeji kerana kakilah tempat bertapak dan melonjak bagi membolehkan sayap dikibar dan sang burung terbang gagah diangkasa menyebar risalah dakwah Islamiah untuk umat manusia.

SELAMATKAN MALAYSIA DENGAN DAKWAH

* Amidi Abdul Manan adalah Presiden ABIM

Leave a Reply

Your email address will not be published.