Categories
NASIONAL

Selepas Sains UPSR bocor kali ini Bahasa Inggeris 1 & 2 pula

SHAH ALAM 11 SEPT: Seramai 473,175 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) perlu menduduki semula kertas Bahasa Inggeris 1 dan 2 berikutan berlaku kebocoran soalan.

Perkara ini diumumkan Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh.

UPSR BOCORIdris juga mengumumkan Kementerian Pendidikan sudah membentuk satu jawatankuasa bebas bagi memastikan kebocoran soalan peperiksaan tidak lagi berlaku pada masa depan lapor BH Online.

Menurutnya, keputusan menduduki semula peperiksaan itu dibuat jam 11 pagi hari ini dan Lembaga Peperiksaan akan berbincang bagi menentukan tarikh peperiksaan bagi kertas berkenaan.

Semalam, Kementerian Pendidikan mengumumkan penangguhan kertas Sains 018, 028 dan 038 yang dijadualkan hari ini kerana didapati bocor.

Tarikh baru ujian kertas itu ialah pada 30 September ini.

Berikut adalah kenyataan media Lembaga Peperiksaan:

PENANGGUHAN UJIAN MATA PELAJARAN BAHASA INGGERIS 
UJIAN PENCAPAIAN SEKOLAH RENDAH (UPSR) TAHUN 2014

Adalah dimaklumkan bahawa Lembaga Peperiksaan (LP), Kementerian Pendidikan Malaysia telah menerima laporan bahawa Kertas Peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 bagi Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2014 yang dijadualkan berlangsung pada tarikh 11 September 2014 telah didapati bocor.

Lembaga Peperiksaan telah menjalankan siasatan dan mendapati perkara ini adalah benar.

Sehubungan dengan ini, Lembaga Peperiksaan memaklumkan bahawa kertas peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 bagi UPSR tahun 2014 yang dijadualkan pada 11 September 2014 adalah DIBATALKAN. T

arikh baharu bagi peperiksaan Bahasa Inggeris 014/1 dan Bahasa Inggeris 014/2 adalah pada 30 September 2014 bersekali dengan Science 018, 028 dan 038.

Dengan perkembangan terbaharu ini, LP akan membuat siasatan
atas semua dakwaan kebocoran kertas peperiksaan. Ini adalah bagi memastikan kepercayaan umum terhadap kesahan dan kebolehpercayaan keputusan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan tidak terjejas.

LP akan bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mengenalpasti pihak yang bertanggung jawab dan seterusnya membawa mereka ke muka pengadilan.

Untuk mendapatkan maklumat yang tepat berhubung peperiksaan UPSR 2014, sila layari portal Lembaga Peperiksaan di alamat www.moe.gov.my/lp
Pengarah Peperiksaan
Lembaga Peperiksaan
Kementerian Pendidikan Malaysia

11 September 2014

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.