Categories
SELANGOR

Solat Minta Hujan di 7 empangan 5 Sept ini tingkat paras air

Oleh: LIZAWATI MADFA

SHAH ALAM, 4 SEPT: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan mengadakan Solat Sunat Istisqa’ memohon hujan pada 5 September ini.

Exco Belia dan Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, solat hajat itu akan diadakan secara serentak di kesemua tujuh empangan di Selangor.

Empangan“Kerajaan Negeri menyeru semua rakyat untuk bersama-sama berdoa agar keadaan cuaca kembali stabil.

“Dengan itu, kita juga harapkan agar keadaan sumber air kita akan pulih seperti biasa,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Exco hari ini.

Mengulas perkembangan sumber air, Yunus berkata operasi pembenihan awan di Empangan Sungai Selangor berjaya meningkatkan jumlah hujan diterima pada bulan Ogos berbanding Jun dan Julai lepas.

“Hasil daripada peningkatan kadar hujan ini, operasi pengeluaran air daripada kolam alternatif dikurangkan berikutan paras air di Baraj Bestari Jaya mencukupi untuk keperluan muka sauk.

“Dalam masa sama, jika berlaku lebihan aliran, ianya akan dipam ke dalam kolam untuk mengoptimakan sumber yang ada.

“Walaubagaimanapun, pemantauan ketat dilakukan dan semua pam sedia beroperasi sekiranya berlaku penurunan paras air di baraj,” katanya lagi.

Mengikut rekod, jumlah hujan diterima Empangan Sungai Selangor sepanjang Ogos adalah sebanyak 344.30 milimeter hasil penuh operasi pembenihan awan.

Untuk tempoh empat bulan bermula 1 April yang lalu, jumlah keseluruhan operasi direkodkan adalah sebanyak 102 kali.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.