Categories
NASIONAL

Suhaizan: PAS berantakan sesama sendiri akibat masalah ‘rumah tangga jiran’

KOTA TINGGI 16 SEPT:¬†Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiyat kesal berikutan parti itu berantakan sesama sendiri akibat masalah ‘rumah tangga jiran’ hingga memesongkan tanggungjawabnya dalam membela rakyat.

Tanpa menyebut rujukan khusus, beliau mengingatkan ahli dan perwakilan betapa pertelingkahan berpanjangan dalaman hanya melemahkan parti itu jika pimpinan pusat tidak mengambil inisiatif segera.

“Masalah rumah tangga jiran tapi rumah tangga kita pula yang berantakan. Rakyat geleng kepala melihat lemahnya kita mengurus krisis. Luka kecil akhirnya bernanah,” katanya yang¬†dipercayai merujuk kepada masalah dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Berucap pada Muktamar Pemuda PAS ke-55 bertema Memperkukuh Muafakat di sini, hari ini, beliau sehubungan itu meminta semua pihak khususnya Pemuda menunjukkan kematangan walau setajam mana sesebuah krisis itu.

Muktamar itu berlangsung dua hari bermula 16 September hingga 17 September di Dewan Chon Moi di sini dengan dirasmikan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu.

Selain itu, Suhaizan kesal kerana pertelingkahan itu menyebabkan Majlis Syura Ulama diperlekeh ‘keyboard warrior’ melalui media sosial yang sepatutnya menjadi medan dakwah parti berkenaan.

“Isi kandungan mesyuarat boleh dibawa keluar. Perbincangan dalaman boleh sampai ke media pihak lawan. Media baru yang sepatutnya menjadi alat berdakwah menjadi alat menembak kaki sendiri

“Sedangkan, dalam apa jua krisis, kita perlu tunjukkan kematangan walau setajam mana sesebuah krisis,” katanya.

Suhaizan berharap pimpinan parti segera mengambil langkah bagi mendamaikan krisis kerana berpendapat perbezaan pendapat tidak diurus dengan baik berikutan ketiadaan pelan tindakan mengurus konflik.

“Kita belum terlambat. Saya yakin PAS mampu membuat perubahan untuk memantapkan parti. Majlis Syura Ulama perlu diperteguh supaya parti tidak terbabas daripada landasan syarak,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published.