Categories
SELANGOR

SYABAS: 7 kawasan alami gangguan bekalan air

SHAH ALAM 9 SEPT: Sebanyak tujuh kawasan sekitar Gombak dan Kuala Lumpur masih mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual dan tekanan rendah akibat daripada pengurangan pengeluaran air terawat dari Logi Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 3 (SSF3).
Syarikat Bekalan Air Selangor (SYABAS) berkata pihaknya dimaklumkan Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH) bahawa pengurangan pengepaman air mentah ini ekoran berlakunya penurunan paras aliran air Sungai Selangor pada 6 September lepas.

syabass“Antara kawasan yang terjejas di Wilayah Gombak ialah Kampung Lembah Jaya, Lembah Jaya Selatan, Kampung Ampang Indah, Taman Mulia Jaya, Kampung Tasik Permai dan Taman Pinggiran Ukay manakala Taman Shamelin Perkasa di Kuala Lumpur,” kata Syabas dalam kenyataan media.

SYABAS menyatakan pihaknya, Kerajaan Selangor dan semua operator yang terlibat sedang berusaha memastikan gangguan itu dapat diatasi dalam waktu terdekat.

“Bagi membantu mengurangkan kesulitan yang dihadapi pengguna di kawasan yang masih terjejas, SYABAS akan menghantar lori-lori tangki air dan tangki statik untuk pengagihan bekalan air kecemasan,” kata SYABAS.

Pengguna yang memerlukan maklumat tambahan boleh melayari laman web SYABAS di www.syabas.com.my, laman Facebook atau Twitter dengan menaip puspel atau puspel syabas.

Para pengguna juga boleh mendapatkan bantuan dengan menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan (PUSPEL) di talian bebas tol 1-800-88-5252 atau SMS dengan menaip PUSPELaduan/pertanyaan dan hantar kepada 39222.

Leave a Reply

Your email address will not be published.