Categories
NASIONAL

2 Adun PAS digantung keahlian setahun

KUALA LUMPUR 12 OKT: Dua ADUN PAS, Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin digantung keahlian setahun berkuatkuasa hari ini.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata tindakan itu ekoran mereka menandatangani akuan bersumpah (SD) menyokong pencalonan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Menteri Besar Selangor.

Katanya, kedua-dua Adun itu mempunyai tempoh 15 hari untuk membuat rayuan dan masih kekal sebagai ADUN.

Namun, mereka tidak boleh mewakili parti dalam sebarang acara.

Kes mereka berdua dibentangkan dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang akan berlangsung di ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur, hari ini.

Mustafa dalam kenyataannya sebelum ini berkata, kes tersebut tidak perlu melalui Jawatankuasa Disiplin parti kerana PAS Pusat mempunyai bidang kuasa tersendiri untuk membuat keputusan berhubung tindakan disiplin terhadap ahli-ahlinya.

Jika dikenakan tindakan, Saari dan Hasnul boleh merayu kepada Majlis Syura Ulama, badan yang mempunyai kuasa untuk membuat kata putus yang lebih tinggi dari Jawatankuasa PAS Pusat.

Saari, Adun Hulu Klang dan Hasnul, Adun Morib dipanggil menemui Mustafa dan Penolong Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyudin Hassan 29 September lalu sebagai permulaan prosiding tindakan disiplin ke atas mereka.

Hasnul dan Saari sebelum ini bersama 15 Adun DAP dan 13 Adun PKR menyokong Dr Wan Azizah menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor sebelum PAS bermesyuarat bagi mencapai keputusan rasmi mengenai perkara tersebut.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-60 di Batu Pahat, Johor bulan lalu mengecam tindakan kedua-dua Adun itu, malah menggelar mereka sebagai “barua”.

Leave a Reply

Your email address will not be published.