Categories
KENYATAAN MEDIA

52% tak sokong BN tak boleh buat tuntutan kepada BN?

Oleh: Loke Siew Fook

Apakah 52% rakyat Malaysia yang tidak menyokong Barisan Nasional juga tidak boleh membuat tuntutan daripada Barisan Nasional?

Ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak di Perhimpunan Agung MCA pada pagi tadi di mana beliau berkata masyarakat Cina tidak boleh terus membuat tuntutan terhadap Barisan Nasional sekiranya mereka masih menyokong Pakatan Rakyat adalah satu kenyataan yang sangat tidak bertanggungjawab dan tidak seharusnya keluar dari mulut seorang pemimpin tertinggi sebuah negara.

“Kamu tak bolehlah buat tuntutan (dari BN) tapi kemudiannya sokong DAP. Kamu minta, kamu sokonglah BN, kita akan berlaku adil kepada masyarakat Cina,” kata Najib.

Apakah Najib tidak faham konsep utama dalam demokrasi ialah membenarkan rakyat untuk membuat pilihan mereka dalam pilihanraya? Hak dan kebebasan untuk memilih parti mana dan calon mana untuk mewakili mereka adalah sesuatu yang tidak boleh dipersoalkan dalam demokrasi.

Maka, adalah menjadi tanggungjawab parti yang membentuk kerajaan selepas pilihanraya untuk mentadbir negara dan berkhidmat untuk semua rakyat tanpa membalas dendam terhadap pengundi yang tidak menyokong mereka.

Sekiranya beliau tidak faham perkara yang begitu asas ini dalam demokrasi, janganlah memalukan diri sendiri dengan mengatakan beliau ingin menjadikan “Malaysia the best democracy in the world”!

Tambahan pula, saya ingin mengingatkan Najib bahawa yang tidak menyokong Barisan Nasional bukan sahaja di kalangan masyarakat Cina. Dalam Pilihanraya Umum ke-13, 52% pengundi Malaysia telah menolak Barisan Nasional.

Sudah tentu jumlah pengundi masyarakat Cina tidak mencecah 52% dan jumlah ini melambangkan rakyat Malaysia dari pelbagai kaum dan agama yang bersatu menolak pentadbiran Barisan Nasional!

Saya nak tanya Najib apakah 52% rakyat Malaysia yang tidak menyokong Barisan Nasional ini juga tidak boleh membuat tuntutan daripada Barisan Nasional?

Kalau rakyat tidak boleh membuat tuntutan daripada kerajaan, apakah 52% rakyat ini dikecualikan daripada membayar sebarang cukai termasuk cukai GST?

Kenyataan Najib di Perhimpunan Agung MCA ini seolah-olah menganggap masyarakat Cina sebagai “masyarakat pengemis”.

Gambaran yang diberikan oleh Najib ialah masyarakat Cina sering “meminta sedekah” daripada kerajaan tetapi tidak menghargai tangan yang memberikan “sedekah”.

Kami nak mengingatkan Najib bahawa rakyat Malaysia tanpa mengira kaum bukanlah pengemis yang meminta sedekah daripada kerajaan tetapi sebagai warganegara Malaysia, sesiapa sahaja berhak untuk menuntut layanan yang adil dan saksama daripada kerajaan!
* LOKE SIEW FOOK adalah Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP merangkap Ahli Parlimen Seremban

Leave a Reply

Your email address will not be published.