Categories
SELANGOR

Allahyarham Ahmad Mustafa dipilih Tokoh Khas Maal Hijrah Selangor

Oleh: AFEEQA AFEERA

SHAH ALAM, 25 OKT: Bekas Imam Besar Masjid Negeri Shah Alam, Allahyarham Ahmad Mustafa Mohd Sidin dipilih menerima anugerah Tokoh Khas Maal Hijrah di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, semalam.

Allahyarham yang diwakili isterinya, Nurazira Ahmad Bashir membawa pulang wang tunai RM10,000 serta sijil penghargaan, trofi dan sepersalinan pakaian yang disampaikan Tengku Panglima Diraja Selangor, Tengku Sulaiman Shah mewakili DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

ANUGERAH KHAS MAAL HIJRAH 1436H ALLAHYARHAM TUAN HAJI BIN MOHD SIDIN -PENERIMA WAKIL OLEH ISTERINYA PUAN NURAZIRA BINTI AHMAD BASHIRAllahyarham mendapat pendidikan awal di Sekolah Agama Menengah Tinggi Kuala Kubu Bharu, Selangor sebelum menyambung pengajian di Markas Tahfiz Al-Quran Wal-Qariaat Masjid Negeri (MARTAH).

Beliau kemudian menyambung pengajian dalam Diploma Tahfiz Al-Quran wal-Qiraat (Darul Quran, Malaysia) dan Ijazah Tahassus Qiraat di Universiti Al-Azhar, Mesir seterusnya mendapat pendidikan terakhir di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dalam bidang Sarjana Syariah dan Pengurusan.

Sepanjang hayatnya, beliau pernah menerima pingat Jasa Kebaktian (PJK) 2001, Ahli Mahkota Selangor (AMS) 2009 dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2001 dan 2009.

Beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Pengawalan Akidah, Ahli Jawatankuasa Halal, Ahli Jawatankuasa Khutbah, Ahli Jawatankuasa Dakwah dan Ahli Jawatankuasa Tauliah untuk Selangor.

_MG_3153Sementara itu, isteri Allahyarham yang ditemui pemberita selepas majlis berkenaan melahirkan kesyukuran serta rasa terharunya terhadap penganugerahan yang diberikan kepada suaminya.

“Saya memang rasa terharu sangat dan berbesar hati terhadap anugerah ini kerana ia adalah satu penghormatan buat arwah suami yang pernah berkhidmat lebih 15 tahun sebagai Imam Besar Masjid Negeri,” katanya.

Pada majlis itu, Persatuan Perlindungan Pembawa HIV Positif Selangor dan Kuala Lumpur (POSHE) menerima anugerah Pertubuhan/Badan Dakwah Sukarela, manakala Eksekutif Unit Pembangunan dan Pengurusan Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Langat, Saloni Abdullah menerima anugerah Tokoh Saudara Kita.

_MG_3309 copySementara itu, bekas Penolong Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Zainuddin Karima, diiktiraf sebagai Tokoh Aktivis Masyarakat dan anugerah Tokoh Keluarga Mithali diberikan kepada pasangan Mohd Sutrisno Mohd Yusof dan Badariah Ahmad.

Sambutan Maal Hijrah yang bertemakan Perpaduan Nadi Transformasi Negara itu turut diserikan dengan kehadiran Dato’ Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohamed Khusrin Munawi.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.