Categories
NASIONAL

Anwar: Bajet 2015 gagal tangani ketirisan berpuluh bilion

Oleh: LIZAWATI MADFA

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan Belanjawan 2015 yang dibentangkan hari ini sebagai tidak munasabah.

Beliau yang juga Ketua Umum PKR menegaskan seperti tahun sebelum ini, Barisan Nasional (BN) terus gagal menangani isu ketirisan berpuluh billion dalam pentadbirannya.

Najib bajetSebaliknya BN mengambil jalan mudah sekali lagi dengan menampung segala kebocoran melalui peningkatan harga barang dan perkhidmatan seperti harga petrol.

“Saya akan sentuh Isnin nanti, soal kos yang meningkat yang tidak dapat ditangani, umpamanya peningkatan harga minyak yang tidak munasabah dalam keadaan harga minyak dunia turun.

“Begitu juga soal kebocoran, ketirisan, rasuah dan tidak ada tender dalam beberapa kontrak besar yang menyebabkan kos meningkat, yang ini tidak disentuh hari ini,” katanya kepada pemberita di luar Bangunan Parlimen petang tadi.

Terdahulu, beliau menyertai Dewan Rakyat untuk mendengar pengumuman Belanjawan 2015 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Najib antara lain mengumumkan pelaksanaan kutipan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) mulai tahun hadapan yang didakwa mampu menjana sehingga RM 23 billion setahun.

Beliau turut menyenaraikan beberapa jenis barangan dan perkhidmatan yang akan dikecualikan daripada GST, antaranya petrol RON 95, diesel dan barangan keperluan asas seperti roti putih, buah-buahan tempatan dan ubat-ubatan.

Bagaimanapun, Anwar berkata, masih terdapat isu lain yang perlu diberi penekanan dan tumpuan dalam usaha mengurangkan beban rakyat.

“GST ini bukan soal pengecualian semata-mata tetapi soal pendekaan yang akan pasti meningkatkan harga barang,” tegasnya.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.