Categories
NASIONAL

Anwar: BN perlu betul kepincangan, elak negara terperangkap kemelut ekonomi

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 13 OKT: Kepincangan pentadbiran ekonomi Barisan Nasional (BN) yang akan mendatangkan kesan negatif kepada negara perlu diperbetulkan sebelum perancangan ekonomi jangka sederhana dan panjang dapat dilaksanakan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara akan terus terperangkap dengan kemelut ekonomi yang sama jika pendekatan itu tidak berubah.

Beliau berkata, pengelolaan yang lemah akibat budaya rasuah juga berterusan dalam pentadbiran dan ekonomi BN sehingga mengakibatkan rakyat menanggung beban.

parlimentKatanya, ketidaktelusan BN dalam menangani rundingan peringkat antarabangsa seperti Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) turut memberi kesan kepada daya saing industri tempatan dan kos sara hidup rakyat.

“Tinjauan Pakatan Rakyat (PR) mendapati kebanyakan rakyat dan komuniti perniagaan melihat belanjawan ini sebagai ‘non-event’ kerana masih tiada usaha daripada kerajaan untuk menyelesaikan permasalahan asas yang mengakibatkan defisit negara membengkak sementara ketirisan dan amalan boros tetap berlaku.

“Perbelanjaan pengurusan negara yang sentiasa bertambah setiap tahun sejak belanjawan lalu terus dikekalkan daripada RM217.7 bilion. (2014) kepada RM223.4 bilion (2015).

“Walaupun kadar pertambahan tahunan dilihat sedikit berkurangan kepada 3.71 peratus berbanding 4.96 peratus tahun sebelumnya, namun soal tatakelola masih parah,” katanya ketika membahaskan Bajet 2015 di Dewan Rakyat, hari ini.

anwarbomohSelain itu, Anwar yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh berkata, perbelanjaan pembangunan pula memecahkan tradisi pengurangan tahun ke tahun, yang mana bertambah kepada RM50.5 bilion (2015) daripada RM46.5 bilion (2014).

Katanya, nisbah perbelanjaan mengurus kepada pembangunan juga kekal pada nisbah 82:18 sama seperti tahun sebelumnya, sekali gus menujukkan ketidaksediaan BN untuk mengurangkan ketirisan dan beralih kepada pembangunan.

“Ini berbeza dengan kenyataan tegas Menteri Besar Selangor yang mahu pendekatan berubah supaya peruntukan pembangunan negeri itu ditingkatkan berbanding sebelumnya sebagai asas belanjawan Selangor 2015,” katanya.

-NFN-

Leave a Reply

Your email address will not be published.