Categories
NASIONAL

Anwar: Pakatan terus kukuh muafakat walau diasak teruk

Oleh: AFEEQA AFEERA

KUALA LUMPUR, 27 OKT : Pakatan Rakyat (PR) hari ini mengambil keputusan terus bermuafakat serta memperkukuh hubungan antara tiga parti komponen dalam gabungan itu bagi mendepani pelbagai cabaran politik.

Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kesepakatan itu dicapai melalui mesyuarat antara pimpinan tertinggi PR yang berlangsung di Parlimen petang tadi.

PAKATAN RAKYAT“Kepimpinan hari ini menyatakan bukan sahaja untuk meneruskan (gabungan) tapi memperkukuhkan hubungan meskipun diasak dengan pelbagai cabaran termasuk berdepan Akta Hasutan di kalangan pemimpin,” katanya dalam sidang media.

Sementara itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, berkata pihaknya akan terus berjuang berhabis-habisan dalam menyatakan sokongan terhadap Anwar yang berkemungkinan bakal berhadapan hukuman penjara dalam perbicaraan terakhir esok.

Katanya sekiranya keputusan mahkamah tidak memihak kepada Ketua Pembangkang itu, maka satu mesyuarat tergempar di kalangan pemimpin PR akan diadakan serta-merta.

“Sekiranya perkara yang kita tidak ingini tetap berlaku, maka majlis pimpinan tertinggi PR akan mengadakan mesyurat tergempar untuk bincang jika (Datuk Seri) Anwar dipenjarakan.

“Ia bagi menunjukkan keutuhan dan ketegasan yang dicapai dalam PR,” katanya yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali pula tetap berpendirian bahawa pendakwaan terhadap Anwar adalah bermotifkan politik dan ingin memalapkan karier beliau sebagai pemimpin.

Beliau turut mencabar Putrajaya supaya mengambil peluang ini untuk membebaskan mahkamah daripada pengaruh politik.

“Pendirian kita dari awal ialah pendakwaan ini bermotifkan politik, sebab itu kita pertahankan Datuk Seri Anwar kerana beliau tidak perlu didakwa dari hari pertama lagi.

“Putrajaya perlu ambil peluang ini untuk membebaskan mahkamah dari pengaruh politik.

“Kita yakin Anwar tidak bersalah dan mengambil peluang ini untuk kukuhkan hubungan dalam PR,” katanya yang juga Timbalan Presiden PKR.

Keputusan rayuan kes membabitkan Anwar dan bekas pembantu peribadinya akan didengar di Mahkamah Persekutuan pada Selasa dan Rabu ini.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.