Categories
NASIONAL

‘Badi’ belanjawan defisit terus hantui BN walau dibantu GST, potong subsidi

Oleh: NAZLI IBRAHIM

KUALA LUMPUR, 10 OKT: Belanjawan 2015 Kerajaan Persekutuan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini sekali lagi mencatatkan belanjawan defisit buat kali ke-17 berturut-turut sejak 1998.

Najib yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Belanjawan 2015 di Dewan Rakyat mengumumkan unjuran perbelanjaan berjumlah RM273 bilion berbanding unjuran pendapatan berjumlah RM235.2 bilion sekaligus mengekalkan ‘badi’ belanjawan defisit sejak era mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Najib bajetIni belum mengambil kira seperti kelaziman Najib pada tahun-tahun sebelum ini yang cenderung memohon belanjawan tambahan yang menyebabkan perbelanjaan kerajaan lebih besar dari yang diunjurkan.

Pada Jun lalu Najib memohon belanjawan tambahan yang berjumlah RM4.112 bilion.

Keadaan ini menjelaskan langkah Kerajaan BN mengurangkan subsidi seperti langkah terbaru melibatkan bahan api baru-baru ini dan perlaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) April nanti masih gagal menampung nafsu berbelanja pentadbiran Najib.

Selain itu, jumlah perbelanjaan yang kekal tinggi berbanding pendapatan itu juga membuktikan tiada kesungguhan kerajaan mengekang amalan pembaziran dengan berjimat cermat seperti yang disarankan kepada rakyat terbanyak.

Sementara itu, turut menarik perhatian dalam belanjawan kali ini, apabila Najib memperuntukkan sedikit peningkatkan perbelanjaan pembangunan dari RM46.5 bilion bagi Belanjawan 2014 lalu kepada RM50.5 bagi 2015 tetapi pada masa sama perbelanjaan pengurusan jauh semakin tinggi.

Dalam belanjawan kali ini perbelanjaan pengurusan diunjurkan meningkat kepada RM223.4 bilion berbanding RM217.7 bilion bagi 2014.

EZY

Leave a Reply

Your email address will not be published.